Tun M sudah kalah dengan Zahid

 


Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menganggap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah kalah dalam perjuangan politiknya di tangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, Dr Mahathir berkata peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri pada 2020 adalah atas kerelaannya sendiri dan bukannya kerana Ahmad Zahid. 

Mohd Puad memberitahu, Dr Mahathir berbuat demikian kerana Bersatu tidak mahu mendengar nasihatnya.

"Itu betul. Nasihatnya tidak lagi laku. Usaha terakhir untuk jadi PM interim bukti dia tidak mahu lepas jawatan. Itu pun gagal. Terpaksalah dia letak jawatan.

"Ketika itu PKR dan DAP mahu Tun M kekal. Mahathir tubuh Pejuang untuk kembali jadi PM. Tetapi 'times over'. Segala-galanya gagal. 

"UMNO tidak mati. Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dapat juga jadi PM. Dan anaknya Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) tersisih. Tun hanya berjaya memenjarakan Najib (Datuk Seri Najib Razak)," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Sabtu lalu,  Ahmad Zahid mendedahkan beliau ialah dalang utama menjatuhkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika itu dalam usaha menyelamatkan tindakan pengharaman parti tersebut.

Menurutnya, tindakan luar biasa itu  terpaksa dilakukan untuk menolak Dr Mahathir yang ingin mengharamkan UMNO.

Walau bagaimanapun, Dr Mahathir semalam menafikan bahawa Ahmad Zahid menjatuhkan beliau dan Timbalan Perdana Menteri itu bukan hero yang menyelamatkan UMNO.

Sehubungan itu, sumbangan Ahmad Zahid menjatuhkan kerajaan 22 bulan di Bawah Dr Mahathir adalah benar. 

"Sumbangan Zahid jatuhkan kerajaan 17 bulan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) juga benar. Dan sumbangan Zahid UMNO berkongsi kuasa hari ini juga benar.

"Tun M tidak suka mengalah. Kali ini dia kalah. UMNO masih ada tempat berbakti kepada rakyat. Berehatlah Tun. Jasa mu tetap dikenang," jelasnya.

Jiwa Merdeka



Catat Ulasan

0 Ulasan