Exco Terengganu pertahan larangan persembahan artis wanita di kawasan terbuka


Garis panduan berhubung larangan penyanyi wanita membuat persembahan di pekarangan Kuil Kwan Tee Than adalah terpakai kerana acara berlangsung di kawasan terbuka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, orang yang lalu lalang dapat melihat persembahan tersebut.

Maka, menurut beliau, persembahan itu tidak dianggap sebagai khusus untuk bukan Islam dan pemakaian Garis Panduan Hiburan Negeri Terengganu secara umum untuk melarang artis wanita adalah terpakai.

"Pemakaian garis panduan tersebut adalah secara menyeluruh tanpa diskriminasi terhadap mana-mana pihak.

"Ia adalah garis panduan umum bagi aktiviti hiburan bagi maksud Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 yang diterima pakai di Terengganu," katanya dalam hantaran Facebook, kelmarin.

Baru-baru ini, Ketua AMK Pahang, Chan Chun Kuang menyatakan kekesalannya dengan tindakan kerajaan negeri Terengganu yang melarang sebarang persembahan melibatkan wanita dalam acara keagamaan yang dianjurkan oleh tokong tersebut.

Beliau yang juga ADUN Semambu berkata, walaupun Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah membuat pusingan U dengan memberi kebenaran secara verbal di mana wanita bukan Islam dibenarkan membuat persembahan pada malam terakhir upacara sembahyang di tokong tersebut, namun larangan tersebut turut mendatangkan impak negatif yang serius kepada upacara agama tersebut serta komuniti bukan islam dalam negeri itu.

Menurut Chun Kuang, adalah diketahui bahawa upacara agama sebegini telahpun memasuki tahun ke-76, dan ia merupakan kali pertama penyanyi wanita disekat untuk membuat persembahan di tokong tersebut. 

Wan Sukairi yang juga ADUN Wakaf Mempelam menambah, kerajaan negeri Terengganu tidak pernah menghalang mana-mana pihak daripada sebarang Pertubuhan yang mewakili pelbagai segmen sama ada kebudayaan, warisan, agama dan lain -lain untuk mengadakan program mereka selagi mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan. 

Berkenaan dengan isu yang tular itu, beliau menjelaskan bahawa permohonan daripada Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than telah diterima oleh MBKT pada 20 Jun 2024 untuk mendapatkan permit bagi upacara keagamaan dan persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni sempena ulang tahun kuil Kwan Tee Than pada 29 Julai hingga 2 Ogos 2024.

"Majlis telah meluluskan permohonan yang dikemukakan tertakluk kepada syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than termasuk bagi persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni perlu mengikuti Garis Panduan Hiburan Negeri Terengganu.

"Berdasarkan kepada garis panduan tersebut, persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni yang melibatkan artis wanita hanya dibenarkan kepada penonton wanita sahaja. 

"Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada persembahan artis lelaki dan artis wanita untuk penonton bukan Muslim," jelasnya.





Catat Ulasan

0 Ulasan