Ketua AMK Pahang kesal MBKT larang wanita menyanyi di tokong


Ketua AMK Pahang, Chan Chun Kuang kesal dengan tindakan kerajaan negeri Terengganu yang melarang sebarang persembahan melibatkan wanita dalam acara keagamaan yang dianjurkan oleh sebuah tokong di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Beliau yang juga ADUN Semambu berkata, walaupun Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah membuat pusingan U dengan memberi kebenaran secara verbal di mana wanita bukan Islam dibenarkan membuat persembahan pada malam terakhir upacara sembahyang di tokong tersebut, namun larangan tersebut turut mendatangkan impak negatif yang serius kepada upacara agama tersebut serta komuniti bukan islam dalam negeri itu.

Menurut Chun Kuang, adalah diketahui bahawa upacara agama sebegini telahpun memasuki tahun ke-76, dan ia merupakan kali pertama penyanyi wanita disekat untuk membuat persembahan di tokong tersebut. 

"MBKT yang secara tiba-tiba mengetatkan peraturan-peraturan dan mengarahkan pegawai penguat kuasa untuk memantau aktiviti-aktiviti persembahan di tokong tersebut setiap malam telah menimbulkan ketidaksenangan hati serta kebimbangan bahawa kerajaan negeri Terengganu di bawah pentadbiran PN-PAS akan bertambah menyekat hak dan kebebasan golongan bukan Islam.

"Saya turut mengecam kerajaan negeri Terengganu yang cuba menggunakan kuasa pentadbiran yang telah menjejaskan hak dan budaya golongan bukan Islam. 

"Saya berharap kerajaan negeri Terengganu dapat mengambil serius terhadap perkara ini, dan memastikan ia tidak berulang lagi," katanya dalam kenyataan media, baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar kerajaan negeri PN-PAS agar menghormati hak dan kebebasan semua pihak termasuk golongan bukan Islam seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang selaras dengan realiti masyarakat negara kita yang berbilang bangsa dan agama.





Catat Ulasan

0 Ulasan