Jangan terkejut kalau Jailani derhaka terhadap PAS pula

Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bersetuju dengan pandangan AJK Kerja PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang menyifatkan ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis sebagai Hang Jebat.

Menurut beliau, kalau ikut buku, Hang Jebat ialah seorang penderhaka. 

Maka, kata Mohd Puad, memang benarlah Jailani seorang penderhaka. 

"Jangan terkejut selepas ini dia akan menderhakai PAS terutama jika PAS tidak bantu kos mahkamahnya. 

"Dia disaman sebanyak RM100 juta oleh UMNO kerana jadi Jebat," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Dalam ceramah sempena PRK DUN Nenggiri di Serian malam tadi, Nik Abduh memberi gelaran itu kepada Jailani berikutan tindakannya keluar UMNO untuk menyertai PAS.

Bulan lalu, PAS mengumumkan Jailani diterima sebagai ahli parti itu pada Jun 2023 sekali gus menimbulkan persoalan kerana setakat 9 September tahun lalu, media melaporkan Jailani sebagai ahli UMNO, apabila lembaga disiplin parti mengesyorkan beliau digantung keahlian.

Timbalan Exco Melaka, Datuk Khaidhirah Abu Zahar pula mendedahkan Jailani turut dianggap dalam blok kerajaan pada sidang DUN Melaka, Julai lalu.

Sabtu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan parti itu menyerahkan surat tuntutan kepada Jailani bagi menuntut ganti rugi serta pampasan RM100 juta kerana menyertai PAS.

Namun, Mohd Puad mendakwa Nik Abduh sebenarnya salah kerana calon PAS pada PRK DUN Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail yang sepatutnya digelar Hang Jebat.

"Kerana dia keluar PAS untuk jadi calon Bersatu. Apa lagi dia menderhakai semangat Akta Anti Lompat Parti," jelasnya.



Catat Ulasan

0 Ulasan