Kemenangan di Nenggiri penzahiran kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Madani - PMX


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin dan percaya bahawa kemenangan BN pada PRK DUN Nenggiri semalam adalah penzahiran kepercayaan rakyat yang semakin menyesuaikan diri dengan gelombang perubahan di bawah Kerajaan Madani.

Beliau yang juga Pengerusi PH berkata, ia selaras dengan petanda lonjakan ekonomi negara yang kian mekar sejak akhir-akhir ini.

"Insya-Allah, kemenangan ini menjadi suntikan moral untuk Kerajaan Madani tekal dalam usaha memelihara kebajikan rakyat dan menjulang kemakmuran negara ke tingkat tertinggi," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani memenangi PRK DUN Nenggiri setelah meraih 9,091 undi manakala calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail memperoleh 5,739 undi.

Anwar turut bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada Mohd Azmawi Fikri atas kemenangan tersebut.

"Sekali gus membuktikan rakyat Kelantan menerima kesepakatan yang terhasil menerusi gabungan Perpaduan," jelasnya.

Jiwa Merdeka



Catat Ulasan

0 Ulasan