Kenyataan Muhyiddin cetus persepsi negatif terhadap Agong - Pemuda UMNO

 


Pergerakan Pemuda UMNO melahirkan rasa dukacita atas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan peranan dimainkan oleh Yang Dipertuan Agong ke-16 dalam melantik Perdana Menteri ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 semasa berkempen pada PRK DUN Nenggiri baru-baru ini.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, kenyataan yang dibuat oleh Muhyiddin jelas mencetuskan persepsi negatif dan kesangsian terhadap kebolehan dan keupayaan Seri Paduka selaku Ketua Negara yang mana kuasanya telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan mengikut Perkara 40(2) dan Perkara 43(2).

Menurut beliau, Pemuda UMNO menjunjung kasih atas titah tegas Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah agar PDRM dapat mengambil tindakan yang tegas terhadap keterlanjuran yang telah dilakukan.

"Pemuda UMNO juga ingin mempersoalkan pimpinan PN yang terdiri daripada PAS, Bersatu dan Gerakan, adakah kenyataan Muhyiddin adalah konsensus dan mewakili mereka kesemua?

"Pada hemat Pemuda UMNO, adalah wajar untuk Muhyiddin dan PN menyatakan permohonan maaf rasmi dan secara terbuka bagi memulihkan kesangsian serta keraguan yang telah dicetuskan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam kenyataan media, hari ini.




Hari ini, Tengku Hassanal menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama dan kaum).

Baginda menyifatkan kenyataan Muhyiddin selaku bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran sebagai memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum PRK DUN Nenggiri di FELDA Perasu pada 15 Ogos lalu.

Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syafiq Hamzah telah membuat laporan di Balai Polis Kuantan pada jam 10.38 malam tadi.

Jiwa Merdeka



Catat Ulasan

0 Ulasan