Muhyiddin patut mohon ampun kepada Agong ke-16

 


Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajib memohon ampun secara terbuka berikutan keterlanjurannya membuat kenyataan berkenaan peranan dimainkan oleh Yang Dipertuan Agong ke-16 dalam melantik Perdana Menteri ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 semasa berkempen pada PRK DUN Nenggiri baru-baru ini.

Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, tindakan Muhyiddin apabila mengheret nama Seri Paduka di Nenggiri keterlaluan. 

"Muhyiddin wajib mohon maaf secara terbuka terlebih dahulu. Sepatutnya dia disiasat segera. Tindakan tegas mesti diambil terhadap Muhyiddin," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nenggiri di FELDA Perasu pada 15 Ogos lalu.

Berikutan itu Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syafiq Hamzah membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan pada pukul 10.38 malam tadi.

Mohd Puad berkata, jika diteliti rakaman yang tural ia mengandungi tuduhan yang serius seolah-olah Yang di-Pertuan Agong ke-16 tidak adil. 

Beliau mendakwa bahawa ucapan Muhyiddin yang berbunyi: “Tetapi entah macam mana YDP Agong waktu itu tidak ajak jemput saya ke Istana untuk angkat sumpah” amat jelas berbaur hasutan.

"Apatah lagi ia dibuat secara terbuka dan dalam kempen politik. Lima hari sudah berlalu. Muhyiddin membisu dan tidak mohon ampun. Sesuaikah dia jadi PM semula?" soalnya.

Sementara itu, Muhyiddin dalam hantaran Facebook hari ini menegaskan bahawa ucapannya di Nenggiri adalah satu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut.

"Saya percaya kenyataan saya itu tidak melanggar mana-mana undang-undang negara.

"Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan kenyataan saya," jelasnya.

Hari ini, Tengku Hassanal menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama dan kaum).

Baginda menyifatkan kenyataan Muhyiddin selaku bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran sebagai memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10.

Jiwa Merdeka




Catat Ulasan

0 Ulasan