Pusingan kerja penjawat awam instrumen penting perangi rasuah - MCW

 

Jais Abdul Karim


Malaysia Corruption Watch (MCW) menyokong penuh arahan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, yang mengarahkan semua ketua jabatan melaksanakan pusingan kerja mulai bulan hadapan. 

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, MCW percaya langkah itu akan menjadi instrumen penting dalam memerangi ketirisan dana awam, penyalahgunaan kuasa, dan amalan rasuah dalam perkhidmatan awam.

Menurut beliau, pelaksanaan pusingan kerja tidak hanya berfungsi sebagai mekanisme untuk menggalakkan dinamik dalam perkhidmatan awam tetapi juga mampu memutuskan rangkaian yang berpotensi membawa kepada amalan rasuah. 

"Ini adalah satu langkah proaktif di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam yang bertepatan dengan keperluan semasa untuk memastikan integriti dan ketelusan diutamakan dalam setiap lapisan pentadbiran kerajaan.

"Pusingan kerja dapat mengelakkan pegawai daripada terlalu lama di satu jawatan dan mengurangkan risiko berlaku ketirisan atau salah guna kuasa.

"Pegawai yang sering dipindahkan akan lebih berhati-hati dalam melaksanakan tugas kerana sedar bahawa prestasi mereka sentiasa dinilai dan dipantau oleh pelbagai pihak," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jais berkata, dengan peluang mempelajari tugas baharu dan meluaskan kompetensi, pegawai awam akan lebih bermotivasi dan berdaya saing, sekali gus meningkatkan prestasi dan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Beliau memberitahu, MCW percaya bahawa kegagalan melaksanakan pusingan kerja boleh membawa kesan negatif yang lebih besar terhadap keberkesanan perkhidmatan awam dan integriti negara.

"Oleh itu, kami menyambut baik tindakan tatatertib yang akan dikenakan ke atas ketua-ketua jabatan yang gagal mematuhi arahan ini, seperti yang dinyatakan dalam Peraturan 4 Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993," jelasnya.

Jais berkata, MCW yakin usaha memerangi rasuah akan terus diperkuat dengan sokongan kepada inisiatif-inisiatif reformasi sedemikian. 

"Kami menyeru semua pihak dalam perkhidmatan awam untuk bekerjasama bagi memastikan pelaksanaan pusingan kerja dijalankan dengan telus, adil, dan berkesan.

"Dengan langkah tegas seperti ini, MCW percaya bahawa Malaysia berada di landasan yang betul untuk memperkukuh integriti perkhidmatan awam dan melahirkan sebuah pentadbiran yang bebas daripada rasuah," ujarnya.



JIWA MERDEKA




Catat Ulasan

0 Ulasan