Cukuplah asyik kita je yang kena bersabar! - Akmal

 


Pemuda UMNO mahu pihak yang terlibat dalam insiden pengibaran bendera China pada program Sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan, Perak dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.

Ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, pihak polis perlu menyiasat insiden tersebut bagi menjaga sensitiviti rakyat di negara ini.

"Tolonglah dah muak, dah bosan, kita kenakan tindakan.

"Dahlah, cukuplah asyik kita je yang kena bersabar," katanya dalam rakaman video melalui TikTok, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua meminta maaf atas insiden pengibaran bendera China pada malam perarakan Sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan, Perak semalam.

Beliau berkata, perbuatan itu dilakukan oleh rombongan dari China dan mereka bukan rakyat Malaysia.

Dr Akmal turut mempersoalkan mengapa perarakan itu dianjurkan walaupun tidak mempunyai permit daripada pihak berkuasa.

"Cukup-cukuplah hari tu dah berlaku dalam sekolah, hari ni nak bawa bendera China berarak dekat luar pula," tegasnya.

Beliau juga telah mengarahkan Pemuda UMNO Perak untuk membuat laporan polis berhubung insiden tersebut agar pihak yang terbabit didakwa dan dikenakan hukuman seberat-beratnya.

Dalam video yang tular melalui media sosial, dapat dilihat sekumpulan individu mengibarkan bendera China di pekarangan Menara Condong Teluk Intan.

Insiden tersebut mengundang perasaan kesal netizen yang seterusnya mempersoalkan kewajaran mengibarkan bendera negara asing di Malaysia.


JIWA MERDEKA




Catat Ulasan

0 Ulasan