Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua seolah-olah menyindir Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh dalam isu kerugian besar yang dihadapi FashionValet.
"Ada pelawak yang menggesa suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan untuk isu FashionValet," katanya dalam hantaran Facebook, malam tadi.
Ahad lalu, Dr Akmal melalui hantaran Facebook membuat cadangan tersebut bagi menyiasat sekiranya terdapat salah laku dalam kerugian yang melibatkan pelaburan oleh Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Isu FashionValet meletup ekoran kerugian pelaburan ditanggung Khazanah Nasional dan PNB yang menyaksikan kerugian lima tahun berturut-turut sebelum dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan itu melabur.
Semakan pemfailan akaun kewangan syarikat antara 2012 dan 2017 menunjukkan kerugiannya meningkat kepada RM10.7 juta pada 2017, berbanding RM166,793 pada 2012, sebelum pelaburan Khazanah dan PNB dalam syarikat itu pada 2018.
Maklumat kewangan itu diperoleh daripada pemfailan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Pada tahun Khazanah dan PNB melabur dalam syarikat itu, ia mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM20.19 juta.
Tony berpandangan, kecaman berlebihan terhadap pengurusan FashionValet hanya akan mewujudkan satu budaya di mana pembuat keputusan tidak berani mengambil risiko.
Menurut beliau, Malaysia akan rugi kerana usahawan-usahawan muda tempatan tidak dapat dana yang diperlykan untuk mengembangkan idea-idea besar mereka dan bersaing di peringkat serantau atau global.
"Atau, mereka akan mengikut langkah ramai usahawan terdahulu yang menyeberangi tambak di mana ada akses modal dan kecairan yang lebih baik," jelasnya.
Pada masa sama, Tony tidak menolak kemungkinan berlaku salah lalu dalam FashionValet.
"Kita tidak tahu, mungkin ada. Namun mereka yang mengkritik belum memberi sebarang bukti setakat ini.
"Semua orang hanya mengungkit kerugian pelaburan lebih 90 peratus," katanya.
0 Ulasan