Pegawai SPRM dituduh salah guna wang sitaan RM613,000

 



Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadap ke Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan harta dengan curang.

SPRM dalam kenyataan media hari ini menyatakan, tertuduh, Azizun Mohamad yang berpangkat Penolong Pesuruhjaya Gred 48 didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan wang sitaan sebanyak RM613,000.

Menurutnya, wang sitaan itu adalah berkaitan Op Green, iaitu operasi SPRM yang berjaya membongkar kes penipuan pendaftaran kenderaan diesel dalam sistem mySikap pada 2019.  

"Kesalahan tersebut didakwa berlaku di antara 1 Jun 2020 sehingga 9 Februari 2024 di Cyberjaya.  

"Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun, dikenakan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda," katanya.

SPRM menegaskan bahawa tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang melanggar peraturan dan undang-undang bagi memastikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada suruhanjaya itu terus terpelihara. 

"Tindakan ini mencerminkan kesungguhan SPRM dalam menegakkan keadilan dan membanteras rasuah dan salah guna kuasa tanpa pilih kasih.  

"SPRM bertekad mengekalkan ketelusan dalam setiap tindakan bagi memastikan keadilan dan proses perundangan dilaksanakan sewajarnya," jelasnya.


JIWA MERDEKA


Catat Ulasan

0 Ulasan