Hassan Abdul Karim |
Oleh Hassan Abdul Karim
Satu kesilapan besar yang dilakukan oleh pentadbiran kerajaan Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad dari tahun 1982 hingga 2004 dari aspek pembangunan ekonomi nasional ialah PM Dr Mahathir Mohamad terjebak dalam ketaksuban membina golongan kapitalis kroni.
3. Bezanya Dr Mahathir Mohamad membina kapitalis-kapitalis kroni dari kalangan kaum Melayu, Cina dan India dari kalangan rakyat biasa yang merupakan usahawan-usahawan baru muncul yang berpotensi dan rapat dengannya.
4. Manakala dibawah PM Anwar Ibrahim mulai wujud sistem hibrid dalam pembinaan kapitalis-kapitalis kroni. Di bawah Perdana Menteri kesepuluh terdapat tiga jenis kapitalis kroni.
5. Golongan pertama ialah kapitalis-kapitalis kroni yang terbina sejak zaman pentadbiran Dr Mahathir Mohamad yang semakin matang dan berpengalaman kini terus wujud mengelilingi dan menumpahkan kesetiaan dan sokongan kepada Perdana Menteri yang baru. Mereka ini pemain-pemain besar dalam industri tenaga elektrik, industri digital dan industri pengangkutan seperti pelabuhan dan penerbangan.
6. Golongan kedua kapitalis kroni di zaman Kerajaan Madani ini belum begitu meluas, belum begitu berani kerana gerak tindaknya sering diperhati. Kapitalis kroni jenis kedua ini yang rapat dengan Perdana Menteri adalah pemain kecil, masih amatur, yang baru muncul yang tidak ada track record sebagai usahawan berjaya tetapi mendapat peluang dan ehsan dari kapitalis kroni golongan pertama yang sedang membina jambatan hubungan rapat dengan Perdana Menteri kesepuluh.
7.Tetapi golongan ketiga kapitalis kroni di zaman PM Anwar Ibrahim agak luar biasa. Golongan ini tidak ramai tetapi amat menonjol. Golongan ini agak kebal dan tidak mudah disentuh kerana dilindungi oleh momokan undang-undang yang bernama 3R. Wujudnya golongan kayangan ini yang melakukan fungsi perniagaan yang dilarang oleh undang-undang telah terdedah sekarang ini apabila Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia telah memberikan lesen mengendalikan rangkaian kedua 5G kepada sebuah syarikat telco yang relatifnya pendatang baru tetapi 22.31% saham ekuiti syarikat tersebut dikuasai oleh institusi yang dilarang oleh Perkara 34(3) Perlembagaan Persekutuan untuk melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersial.
8. Imej Kerajaan Madani pimpinan PM Anwar Ibrahim yang menjadikan perjuangan menegakkan tatakelola, urustadbir kerajaan yang baik, telus dan amanah mulai tercalar dan dipersoalkan angkara munculnya kembali amalan membina kapitalis kroni tetapi kali ini datangnya dari golongan maha kaya.
0 Ulasan