Berikut adalah kenyataan media Ketua Penerangan PAS Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi semalam:
1. Saya membaca laporan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi ASEAN pada tahun depan, telah melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, sebagai penasihat peribadi.
2. Langkah ini dilihat agak janggal kerana seluruh dunia mengetahui bahawa Thaksin telah didakwa dengan tuduhan salah guna kuasa, rasuah, dan konflik kepentingan yang memberi keuntungan kepada empayar perniagaan miliknya.
3. Berdasarkan rekod pada tahun 2006, keluarga Thaksin menjual saham majoriti Shin Corporation kepada syarikat pelaburan Singapura, Temasek Holdings, dengan nilai AS$1.88 bilion. Transaksi ini dikecam oleh rakyat kerana keluarga Thaksin tidak membayar cukai atas keuntungan jualan tersebut.
4. Thaksin telah dihumban ke penjara untuk menjalani hukuman selama lapan tahun atas tuduhan salah guna kuasa dan konflik kepentingan semasa berkuasa.
5. Selain itu, Thaksin turut dikritik di era pemerintahannya kerana didakwa menyekat kebebasan media yang mengkritik dasar dan tindakannya.
6. Satu lagi isu sejarah hitam yang berlaku di era beliau ialah peristiwa berdarah Tak Bai, yang menjadi simbol kegagalan pentadbiran Thaksin Shinawatra dalam menangani konflik etnik dan agama secara adil dan berkesan.
7. Peristiwa Tak Bai mendapat perhatian daripada komuniti antarabangsa, dengan banyak pihak mengutuk cara kerajaan Thaksin menangani demonstrasi tersebut. Organisasi hak asasi manusia seperti Amnesty International dan Human Rights Watch menyifatkan kejadian itu sebagai pelanggaran hak asasi manusia.
8. Melihat kepada rekod ini, pelantikan Thaksin sebagai penasihat pastinya menimbulkan pelbagai persoalan, apatah lagi Anwar ‘terkenal’ dengan imej reformasi, melawan rasuah, dan menentang salah guna kuasa.
9. Sudah tentu, Anwar tidak mahu sekali lagi dilihat sebagai individu yang ‘menyokong’ perbuatan korup tersebut, sebagaimana yang berlaku ketika beliau melantik individu-individu terpalit rasuah dalam kabinet Kerajaan Malaysia.
10. Justeru, saya ingin bertanya, apa sebenarnya helah Anwar melantik Thaksin sebagai penasihat? Apakah tiada pakar diplomatik, bekas menteri luar, atau tokoh akademik dalam bidang hubungan antarabangsa yang boleh dilantik sebagai penasihat?
0 Ulasan