Berikut adalah kenyataan media Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz mengenaikan kenaikan kos mengerjakan haji semalam:
1. Kenaikan sehingga 20 peratus kos mengerjakan haji bagi tahun 1446H/2025M adalah cerminan kegagalan polisi kerajaan dan kelemahan pengurusan Lembaga Tabung Haji dalam memastikan seramai mungkin umat Islam di Malaysia, khususnya golongan B40 dan M40, berpeluang menunaikan ibadah haji. Kenaikan ini telah memberi kesan langsung kepada golongan yang selama ini menabung dengan penuh harapan. Jika tiada langkah serius untuk mengekang trend ini, harapan majoriti golongan B40 dan M40 untuk menunaikan haji hanya akan tinggal impian semata-mata.
2. Alasan 'istito'ah' atau kemampuan yang diberikan oleh pihak Tabung Haji menunjukkan ketiadaan sikap prihatin dan empati, lebih-lebih lagi apabila kos operasi, termasuk gaji pengurusan tertinggi, adalah bergantung kepada dana dan aset hasil daripada deposit penyimpan Tabung Haji selama ini.
3. Alasan ini tidak boleh diterima sama sekali apabila ia digunakan untuk melepaskan pengurusan Tabung Haji daripada amanah dan tanggungjawab berat membantu seramai mungkin bakal jemaah haji dari golongan B40 dan M40. Sebaliknya, Tabung Haji perlu lebih berusaha untuk mencari sumber dana alternatif dan memastikan pengurusan kewangan yang lebih cekap. Kegagalan ini menggambarkan kelemahan pengurusan Tabung Haji sebagai pemudah cara kepada umat Islam Malaysia melaksanakan rukun Islam kelima.
4. Data yang ada menunjukkan bahawa keuntungan Tabung Haji dan jumlah aset telah meningkat secara konsisten setiap tahun:
i.Keuntungan tahunan meningkat daripada RM1.8 bilion pada 2019 kepada RM2.3 bilion pada 2023.
ii.Jumlah aset yang diuruskan bertambah daripada RM86.6 bilion pada 2021 kepada RM89 bilion pada 2022.
iii. Jumlah tabungan pendeposit turut menunjukkan trend positif, meningkat daripada RM69.4 bilion pada 2019 kepada RM89 bilion pada 2023.
5. Pertumbuhan keuntungan dan aset ini membuktikan bahawa Tabung Haji mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pihak Tabung Haji dan kerajaan untuk memastikan peningkatan ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengekalkan kos mengerjakan haji pada kadar yang berpatutan tanpa membebankan rakyat.
6. Kerajaan dan Perdana Menteri terdahulu telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam membantu mengekalkan kos haji agar rakyat tidak terbeban. Subsidi dan bantuan yang diberikan sebelum ini jelas meringankan beban kewangan jemaah. Namun, komitmen ini semakin pudar di bawah kepimpinan kerajaan hari ini yang sepatutnya berperanan lebih proaktif dalam menangani isu ini.
7. BERSATU menegaskan bahawa kerajaan dan Tabung Haji perlu:
i. Menilai semula kos pengurusan keseluruhan operasi Tabung Haji dan anak syarikatnya untuk memastikan tiada pembaziran sumber dan ketirisan, agar dana, aset, dan keuntungan Tabung Haji dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu bakal jemaah haji golongan B40 dan M40.
ii. Meneliti semula kos operasi Tabung Haji dalam pengurusan ibadah haji, termasuk kos penghantaran petugas dan pengurusan tertinggi ke Tanah Suci, supaya perbelanjaan dapat diminimumkan dan penjimatan ini disalurkan untuk membantu mengurangkan kos jemaah.
iii. Kerajaan perlu menyemak semula polisi berkaitan Tabung Haji dan mencari pendekatan yang dapat membantu mengurangkan kos mengerjakan haji serta meningkatkan pendapatan Tabung Haji.
iv. Menyemak, meneliti dan memantau pengurusan dana dan pelaburan Tabung Haji bagi memastikan pulangan yang lebih tinggi dan manfaat ini dapat dipanjangkan kepada bakal jemaah, khususnya golongan B40 dan M40.
v. Memperkukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi untuk mencari kaedah dan kerjasama strategik bagi mengurangkan kos mengerjakan haji bagi jemaah Malaysia.
8. Kami menegaskan bahawa kerajaan dan Tabung Haji tidak boleh mengabaikan tanggungjawab ini. Pertumbuhan aset dan keuntungan yang dicapai setiap tahun seharusnya dimanfaatkan untuk membantu rakyat, bukan membebankan mereka.
0 Ulasan