Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengeluarkan arahan henti kerja perlombongan kepada dua syarikat perlombongan yang dikhuatiri menyebabkan pencemaran di Sungai Kelaik, Gua Musang, Kelantan.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan siasatan yang dijalankan JAS terhadap pematuhan kedua-dua syarikat terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).
"Hasil siasatan mendapati Syarikat Aqua Orion Sdn Bhd telah menjalankan aktiviti tanpa mendapat kelulusan di bawah subseksyen 34A(3). Kertas siasatan akan dibuka dengan segera di bawah subseksyen 34A(6).
"Manakala bagi Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd (Redstar Capital Sdn Bhd), hasil siasatan mendapati premis tidak beroperasi di mana tiada sebarang kerja-kerja mengorek bijih besi atau memproses bijih besi dijalankan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau memberitahu, tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta 127 sekiranya didapati penggerak projek gagal mematuhi mana-mana syarat kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) bagi memastikan pelaksanaan projek dapat mengurangkan dan meminimakan kesan kepada reseptor sensitif alam sekitar.
Nik Nazmi menambah, JAS juga akan mengemukakan surat kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kelantan supaya PTG Negeri Kelantan menangguhkan kelulusan pembaharuan lesen melombong kepada pihak Syarikat Aqua Orion Sdn Bhd sehingga Laporan EIA dikemukakan untuk penilaian dan kelulusan.
"Pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan di tapak projek dan sebarang ketidakpatuhan di bawah Akta 127 akan diambil tindakan perundangan yang tegas.
"Sekiranya disabitkan kesalahan, pesalah berhadapan dengan hukuman penjara mandatori selama tempoh tidak melebihi 5 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak melebihi RM1 juta," tegasnya.
Beliau berkata, kementerian komited dan mengambil tindakan tegas dalam menangani sebarang isu berhubung pencemaran dan menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.
0 Ulasan