Tok Mat Hasan sendiri minta KKM keluar kompaun kesalahan merokok - Dr Dzul

 

Gambar: Akaun X @MsianInciter

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan kompaun dikenakan hari ini terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan atas kesalahan merokok di sebuah restoran.

Menurut beliau, pegawai yang diberi kuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah Seremban akan berjumpa dengan Mohamad untuk menghantar notis kesalahan dan memberi kompaun.

Dr Dzulkefly menambah, Pejabat Menteri Luar telah maklum tentang perkara tersebut.

"Jujurnya, YBM DS Muhammad Hasan sendiri minta Kementerian Kesihatan isukan kompaun ke atas kesalahan tersebut dan beliau memberitahu saya, kompaun akan dibayar," katanya melalui X hari ini.

Kelmarin,  Dr Dzulkefly berkata, setelah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852)) berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu, beliau berpegang kepada prinsip bahawa ‘tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang. 

Beliau memberi reaksi terhadap komen pemilik akaun X @MsianInciter pada 15 Disember berhubung kesalahan yang dipercayai dilakukan di sebuah kedai makan di pekan Rantau, Seremban.

"Ingatkan kedai makan adalah kawasan larangan merokok. Tapi Menteri Luar Negeri balik kawasan berasap di kedai makan rilek je @DrDzul @KKMPutrajaya," katanya.


BACA LAGI




Catat Ulasan

0 Ulasan