Pelakon veteran Lan Zailan telah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.20 pagi hari ini akibat kanser pankreas.
Berita sedih ini disahkan oleh isterinya, Ruby Sara Omar, 51.
Difahamkan, kanser yang dihidapi Allahyarham telah merebak ke paru-paru kiri dan hati.
Doktor sebelum ini menganggarkan beliau hanya mempunyai jangka hayat sekitar tiga bulan selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 27 November lalu.
Allahyarham sempat dibenarkan pulang ke rumah pada Sabtu, tetapi kembali dimasukkan ke hospital keesokan harinya kerana keadaannya semakin lemah.
Jenazah beliau akan disolatkan di Masjid Al-Salam, Puchong Perdana, Selangor, sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya.
Lan Zailan, atau nama sebenarnya Zailan Kamaruddin, 66 tahun, mula dimasukkan ke PPUM pada Oktober lalu akibat batuk berpanjangan yang tidak sembuh meskipun telah menerima rawatan di klinik.
Beliau disahkan menghidap kanser pankreas tahap 4 pada November.
Sebagai seorang dramatis yang memulakan kerjayanya pada era 1990-an, Allahyarham pernah membintangi pelbagai drama seperti Santan Berlada, Rumah Kedai, Gerak Khas, Tanah Kubur, dan Metro Skuad.
Beliau juga tampil di layar perak menerusi filem Suami, Isteri dan...?.
0 Ulasan