Gambar: FB Sitti Bandorah Mahalil |
ADUN Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi merayu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan negeri Sabah supaya tidak merobohkan rumah yang didiami balu wira Lahad Datu, Allahyarham Sarjan Abd Aziz Sarikon.
Beliau berharap jasa Allahyarham yang terkorban semasa insiden pencerobohan pengganas Kiram di Kampung Simunul, Semporna dikenang.
Ahli MKT itu juga berharap agar kerajaan tidak bersikap 'habis madu, sepah dibuang' terhadap Allahyarham yang berasal dari Rengit, Batu Pahat.
"Tidak patut rumah isteri Allahyarham, iaitu Sitti Bandorah asal Semporna mahu dirobohkan. Kita menang saman Raja Kiram di Mahkamah Belanda. RM62.5 bilion diselamatkan tetapi rumah keluarga perajurit negara tidak diselamatkan.
"Arwah Abd Azis bekas anggota polis. Pedih bila mendengar Sitti Bandorah berkata, “saya benci PDRM” kerana anggota PDRM hadir bersama untuk merobohkan rumahnya," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Gambar: FB Sitti Bandorah Mahalil |
Sitti Bandorah Mahalil dalam hantaran Facebook baru-baru ini meluahkan kesedihan terhadap tindakan agensi penguatkuasaan menebang pokok-pokok yang ditanam di sekitar kawasan rumahnya.
Dia juga mendakwa, penduduk Kampung Alab, sebuah perkampungan air di Pulau Bodgaya, Semporna telah diberi notis pengosongan oleh pihak berkuasa bagi memberi laluan kepada perobohan kediaman mereka.
Menurut notis Taman-Taman Sabah yang diberikan kepada penduduk, rumah-rumah tersebut didakwa menceroboh kawasan Taman Marin Tun Sakaran.
Sitti Bandorah dan penduduk yang lain enggan berpindah dari kawasan yang telah didiami mereka sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
Seperti yang dilaporkan Malaysiakini semalam, dia kesal dan sedih dengan tindakan pihak berkuasa itu yang seolah-olah tidak menghargai jasa arwah suaminya yang sanggup mengorbankan nyawa demi mempertahankan kedaulatan Sabah.
0 Ulasan