JKPK cadang kerajaan tak teruskan PLKN 3.0

 

Gambar hiasan: sebenarnya.my

Berikut adalah kenyataan media jawatankuasa tersebut hari ini: 

Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan, dan Pembangunan Sumber Manusia telah mengadakan mesyuarat pada 3 Disember 2024 untuk mendengar taklimat daripada Kementerian Pertahanan dan Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS) berhubung laporan penilaian serta keberkesanan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 1.0 dan 2.0, termasuk Strategi Pelaksanaan PLKN 3.0.

Hasil mesyuarat itu, JKPK mencadangkan agar kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan PLKN 3.0. Sekiranya kerajaan tetap berhasrat melaksanakan program tersebut, JKPK menekankan keperluan untuk melakukan kajian lebih mendalam dan terperinci terlebih dahulu.

Pendirian JKPK ini disandarkan kepada beberapa alasan berikut:

  1. PLKN 3.0 tidak mempunyai objektif dan sasaran pencapaian yang jelas, meneruskan masalah legasi yang timbul daripada PLKN 1.0.
  2. Jika PLKN 3.0 tetap dilaksanakan, matlamat dan modulnya perlu berasaskan latihan ketenteraan atau separa-ketenteraan. Namun, persoalannya, adakah negara memerlukan program seperti itu?
  3. Modul PLKN 3.0 yang dicadangkan bersifat bercampur-aduk, dengan 70% berfokus pada Asas Ketenteraan dan 30% pada Kenegaraan.
  4. Walaupun modul tersebut memberi penekanan besar pada Asas Ketenteraan, sebahagian kandungannya tidak berkaitan langsung dengan elemen tersebut.
  5. Kandungan berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Kenegaraan boleh disampaikan melalui program atau institusi pendidikan sedia ada.
  6. Kajian menunjukkan PLKN 1.0 dan 2.0 tidak memberi kesan positif jangka panjang kepada peserta, menjadikannya kurang berkesan.
  7. Kos pelaksanaan PLKN, termasuk PLKN 3.0, adalah sangat tinggi jika dibandingkan dengan impak positif yang terhad, yang sebenarnya boleh dicapai melalui program lain yang sudah tersedia.

Kenyataan ini disokong oleh Ahli-ahli JKPK seperti berikut:

  • YB Dato' Sri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) - Pengerusi
  • YB Tuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar)
  • YB Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Abd Muttalib (Maran)
  • YB Tuan Chong Chieng Jen (Stampin)
  • YB Tuan Sivakumar Varatharaju Naidu (Batu Gajah)
  • YB Datuk Idris Ahmad (Bagan Serai)
  • YB Tuan Haji Ahmad Johnie Zawawi (Igan)
  • YB Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau)
  • YB Dato’ Haji Shamshulkahar Mohd Deli (Jempol).

Catat Ulasan

0 Ulasan