Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat isu berkaitan pengendalian kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan mencadangkan supaya siasatan jenayah dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Cadangan ini dibuat berikutan keputusan Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 untuk menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ), menyebabkan Malaysia kehilangan kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh kepada Singapura.
Dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini, RCI mencadangkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dengan hukuman di bawah Seksyen 417 dan Seksyen 418.
“Oleh itu, adalah dicadangkan supaya satu laporan polis dibuat oleh setiausaha suruhanjaya bagi membolehkan siasatan ini dimulakan,” menurut laporan itu.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah milik Malaysia. Hak milik Tubir Selatan pula bergantung kepada persempadanan perairan negara-negara terlibat.
Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Dr Mahathir menarik balik permohonan untuk membatalkan keputusan ICJ, yang memberikan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.
RCI ini ditubuhkan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada 14 Februari lalu di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119). Antara ahli RCI adalah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, sebagai pengerusi dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, sebagai timbalan pengerusi.
Lima lagi anggota termasuk Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Prof Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin, Prof Datin Dr Faridah Jalil, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir, dan Dickson Dollah. Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) JPM, Datuk Zamri Misman, bertindak sebagai setiausaha RCI, dengan BHEUU JPM sebagai urus setia.
Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa isu Batu Puteh boleh diselesaikan melalui rundingan bersama Peguam Negara Malaysia dan Singapura. Pada Disember 2023, Anwar mengarahkan Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun, untuk menyemak semula tuntutan berkaitan.
Pada 12 Jun lalu, Dr Mahathir memberi keterangan hampir dua jam kepada suruhanjaya tersebut. Dalam sidang media, beliau menafikan membuat keputusan sendirian mengenai tuntutan Batu Puteh. Menurutnya, keputusan itu dibuat oleh Kabinet pada 2018, berdasarkan pandangan pakar undang-undang bahawa kes tersebut lemah dan sukar untuk dimenangi.
“Kita perlu mematuhi janji (untuk terima keputusan), kalau mungkir janji, nama buruk pada Malaysia,” katanya.
Pada April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menyatakan bahawa keputusan pada 2018 dibuat secara ‘sembunyi-sembunyi’ oleh Dr Mahathir, yang menyebabkan Malaysia kehilangan Batu Puteh.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pula pada 2022 mengakui kemungkinan terdapat kecuaian dan kesilapan oleh Dr Mahathir, yang menyebabkan Malaysia gagal memfailkan semakan terhadap keputusan ICJ pada 2008.
0 Ulasan