![]() |
| Gambar: FB Azmin Ali |
Dalam keadaan ramai rakyat di negeri-negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) diuji dengan musibah banjir, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali tiba-tiba membangkitkan kemungkinan berlaku pilihan raya umum secara mengejut.
Kemungkinan itu dibayangkan beliau ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Sabtu lalu.
Apa sebenarnya maksud Azmin? Apakah akan berlaku lagi percubaan tebuk atap yang boleh menyebabkan Kerajaan Madani tidak dapat bertahan sehingga ke hujung penggal?
Atau Azmin hanya memainkan taktik perang psikologi bagi membuktikan Setiausaha Agung Bersatu yang baru berupaya menggentarkan pihak lawan?
Walau apa pun alasannya, rakyat sudah bosan dengan politiking tidak berkesudahan oleh pembangkang yang nampaknya terlalu ghairah ingin menjadi kerajaan semula.
PN telah beroleh peluang menjadi kerajaan kira-kira dua tahun selepas PRU14 walaupun tidak melalui proses pilihan raya seperti parti-parti pemerintah yang lain.
Tidak dinafikan, kerajaan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berusaha sebaik mungkin dalam menangani krisis pandemik COVID-19.
Namun, rekod prestasi mereka tercemar dengan isu perintah darurat berpanjangan serta tuduhan salah laku melibatkan beberapa pemimpinnya termasuk Muhyiddin sendiri.
Apakah Azmin begitu yakin rakyat akan menerima PN kembali sekiranya PRU16 diadakan lebih awal daripada yang sepatutnya?
Daripada sibuk-sibuk mencanangkan kemungkinan PRU16 dibuat secara mengejut, lebih baik Azmin beri tumpuan untuk memantapkan Bersatu agar menjadi lebih gah daripada PAS.
Jadi tidaklah timbul suara-suara sumbang yang mempertikaikan kewajaran PAS memberi laluan kepada Bersatu untuk mengetuai PN serta membolot calon tunggal Perdana Menteri.
Sama ada Kerajaan Madani dapat bertahan atau tidak selepas PRU16, hal itu terpulang kepada pengundi untuk menentukannya nanti.
Buat masa ini, lebih baik Azmin jaga tepi kain parti sendiri.

0 Ulasan