Pemuda BN jemput Adam Adli sertai himpunan Solidariti Bersama Najib

 


Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN), Neow Choo Seong mempelawa Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim untuk menyertai himpunan solidariti bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya 6 Januari depan.

Berikut adalah kenyataan beliau:

1.   Apa yang dinyatakan oleh YB Datuk Dr Akmal Saleh adalah bersifat pertanyaan yang berniat untuk mendapatkan penjelasan sejurus kenyataan Peguam Negara pada 28 Disember 2024 berhubung isu pengampunan diraja. 

2.   Tidak ada keperluan untuk Dr. Akmal Saleh menarik balik sebarang kenyataan beliau kerana tidak ada apa-apa kesalahan atau bercanggah dengan undang-undang di negara ini.

3.   Sebaliknya, saya mengajak YB Adam Adli dan rakan-rakan dari AMK untuk turut hadir di Istana Kehakiman, Putrajaya menyertai himpunan solidariti bersama Najib Razak menuntut keadilan. 

4.   YB Adam Adli dahulunya cukup dikenali dan disanjungi anak-anak muda kerana memperjuangkan reformasi keadilan dan menentang kezaliman. Beliau juga mempunyai pengalaman luas mengetuai beberapa siri demontrasi jalanan suatu ketika dahulu. Maka, Pemuda BN ingin menjemput dan berharap YB Adam Adli dapat hadir bersama kami untuk menuntut keadilan dalam sistem perundangan negara. 

5.   Ini juga selaras dengan kenyataan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri pada 21 Disember lalu yang menyifatkan terdapat kelemahan dalam beberapa kes pendakwaan yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa, serta didorong oleh kebencian, permusuhan dan dendam politik. Jangan lupa bagaimana kediaman Datuk Seri Najib digeledah pada malam pertama Ramadan 2018.

6.   Atas keikhlasan dan semangat Kerajaan Perpaduan, maka adalah wajar agar AMK dan sayap pemuda PH dapat bersama-sama dengan Pemuda BN dalam perhimpunan aman kali ini. 

7.   Sebagai barisan pemimpin pelapis, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan keadilan sistem perundangan negara dan menghentikan amalan dendam politik yang bukan sahaja merugikan rakyat tetapi juga membazir sumber negara serta mencemarkan kemuliaan institusi kehakiman di negara kita.


BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan