PAS Pulau Pinang mendesak kerajaan tampil menyatakan hal sebenar dan membenarkan titah adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Penerangannya, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, Perdana Menteri keenam itu telah dinafikan haknya dalam pembelaan, malah dengan beraninya kerajaan cuba untuk mengganggu urusan perundangan.
"Secara logiknya, adakah Datuk Nizar Najib berani mereka-reka titah daripada sultan, dan sekiranya titah ini telah diberikan pada 29 Januari 2024 lagi dan disorok dan dinafikan oleh kerajaan PH sekarang, jelaslah kerajaan sekarang derhaka terhadap titah sultan.
"Hal ini bertentangan dengan Rukun Negara kedua dan keempat iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara serta Kedaulatan Undang-undang.
"Kerajaan PH sekarang juga kelihatan sudah membelakangkan prinsip perjuangan mereka dahulu yang menjunjung keadilan kepada semua pihak dalam mendapatkan pembelaan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Baru-baru ini, Nizar telah memfailkan afidavit di mahkamah mengenai titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bapanya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Beliau mengesahkan perkara tersebut telah dimaklumkan sendiri oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepadanya baru-baru ini.

0 Ulasan