PAS teruskan Himpunan Solidariti Bersama Najib - Takiyuddin

 


PAS akan meneruskan perhimpunan solidariti bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya Isnin ini.

Berikut adalah kenyataan penuh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini:

PAS mengambil maklum dan menjunjung tinggi titah Istana Negara hari ini berhubung kuasa prerogatif DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong berdasarkan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

PAS juga akur dan turut mendukung segala proses serta tatacara yang diperuntukkan di bawah undang-undang berhubung perkara tersebut melalui Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Dalam pada itu, PAS juga mendapati kehadiran ke himpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya yang dijadualkan Isnin depan sekali-kali tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah tersebut, mahupun mana-mana peruntukan Perlembagaan atau mengganggu proses dan penjalanan Lembaga Pengampunan.

Seperti yang dibayangkan oleh tema himpunan itu sendiri, ia adalah berupa kehadiran secara aman rakyat jelata rentas kaum dan fahaman ke suatu tempat awam iaitu mahkamah terbuka (open court) sebagai tanda solidariti terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan pada saat-saat penentuan di mahkamah dalam usaha beliau mendapatkan hak, keadilan dan perlindungan terbaik bawah undang-undang atas kepercayaan bahawa kuasa prerogatif yang sama telah memberikan kelonggaran tertentu ke atas hukuman yang dijalaninya, iaitu melalui dokumen yang dikenali sebagai "Titah Addendum".

Malangnya, timbul keraguan yang munasabah bahawa Titah Addendum ini, yang terhasil dari kuasa prerogatif Institusi Yang Dipertuan Agong, kelihatan dikhianati dan disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu yang berkuasa sehingga menafikan hak dan kelonggaran yang diberikan, lalu memaksa Dato’ Sri Najib memohon kepada mahkamah melalui semakan kehakiman bagi suatu perintah agar kerajaan mengesahkan kewujudannya dan seterusnya mengambil tindakan lanjut selaras dengannya.

Justeru himpunan solidariti ini tidak lain melainkan bertujuan mempertahankan kuasa dan prerogatif Institusi Yang Dipertuan Agong daripada manipulasi dan ketidaktelusan, selain menyokong semua usaha sah Dato’ Sri Najib untuk mendapatkan keadilan di bawah undang-undang mengikut kuasa dan prerogatif yang sama.

Dengan itu PAS tiada hasrat untuk menyemak kembali seruan yang telah dibuat berhubung kehadiran aman ahli-ahlinya pada hari, masa dan tempat yang dinyatakan.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan