Pemuda UMNO kembali garang di bawah kepimpinan Dr Akmal

 


Setelah sekian lama mengalami fasa lemau di bawah dua ketua terdahulu, Pemuda UMNO kini kembali garang di bawah kepimpinan Datuk Dr Akmal Saleh.

Dalam masa kurang sepenggal, beliau telah berjaya mengembalikan reputasi Pemuda itu sebagai kumpulan pendesak yang digeruni lawan serta dihormati kawan.

Ketika ramai pemimpin UMNO terutamanya yang berada dalam kerajaan memilih untuk berdiam diri dalam isu-isu menyentuh agama dan bangsa, Dr Akmal tidak gentar bersuara.

Begitu juga dalam usaha mempertahankan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Malah, beliau sanggup turun padang menyertai Himpunan Solidariti Bersama Najib di pekarangan Istana Keadilan, Putrajaya walaupun UMNO telah menarik diri.

Kelantangannya dalam isu stoking tertera kalimah Allah dan ham sandwich telah menyebabkan pemimpin-pemimpin DAP seperti Nga Kor Ming dan Woo Kah Leong kurang senang dan cuba menjadi abang besar untuk menutup mulut Dr Akmal.

Harapan mereka untuk melihat Dr Akmal diam membisu setelah dikecam bertubi-tubi punah sama sekali. Bukan sahaja apa yang diharapkan tidak menjadi malah tindakan kurang cerdik mereka itu menyebabkan populariti Dr Akmal semakin melambung tinggi.

Beliau juga sanggup bertikam lidah dengan Ahli MKT UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang dilihat lebih kemaruk mempertahankan pemimpin-pemimpin PH berbanding partinya sendiri.

Lebih melucukan, ada pihak yang sanggup mengupah pempengaruh dengan jumlah yang tidak seberapa untuk menyerang Dr Akmal ekoran kelantangannya bersuara dalam isu sandwich ham.

Pihak terbabit menjadi cacing kepanasan yang terdesak setelah gagal mematahkan kata-kata berbisa Dr Akmal yang mengecam sikap peniaga bukan Islam yang tidak peka dengan isu halal dan haram.

Besar harapan orang Melayu dan Islam untuk melihat Dr Akmal sentiasa konsisten di hadapan dalam mempertahankan maruah agama dan bangsa daripada dipijak oleh musuh-musuhnya.

Tidak mustahil Pemuda UMNO akan kembali berupaya menarik sokongan generasi muda Islam dan Melayu setelah mengharungi era lemah dan lesu di bawah Khairy Jamaluddin dan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dahulu.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan