Ambil tindakan tegas kes empat pegawai PM9 - MCW

 


Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa tindakan undang-undang tegas diambil terhadap empat pegawai bekas Perdana Menteri ke-9 sekiranya terdapat bukti kukuh bahawa mereka menyeleweng dana kerajaan.  

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, penahanan keempat-empat individu berkenaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan komitmen berterusan agensi itu dalam membanteras rasuah tanpa mengira kedudukan atau latar belakang pelaku.  

“MCW menyokong penuh siasatan yang dijalankan dan menegaskan bahawa integriti serta ketelusan dalam pentadbiran negara perlu menjadi keutamaan. 

"Sebarang salah guna kuasa atau penyelewengan dana awam mesti ditangani secara tegas agar kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan tidak terhakis,” katanya dalam kenyataan media hari ini.  

Beliau turut menggariskan tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam siasatan kes tersebut.  

"Pertama, SPRM perlu memastikan siasatan dijalankan secara bebas, adil dan telus, termasuk memaklumkan perkembangan kes kepada rakyat secara berkala. 

"Kedua, jika terdapat bukti kukuh, pihak terlibat hendaklah dihadapkan ke mahkamah tanpa kompromi kerana tiada siapa yang boleh dikecualikan daripada tindakan undang-undang. 

"Ketiga, insiden ini menunjukkan keperluan untuk memperkukuh sistem semak dan imbang dalam pengurusan dana awam menerusi reformasi institusi yang lebih menyeluruh.  

“MCW juga ingin mengingatkan semua pemimpin dan penjawat awam bahawa amanah yang diberikan rakyat tidak boleh disalahgunakan demi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu. Keutamaan harus diberikan kepada kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.  

“MCW akan terus memantau perkembangan kes ini dan menyokong sebarang usaha untuk membanteras rasuah demi mewujudkan budaya integriti dalam pentadbiran negara,” katanya.


BACA LAGI


MENARIK





Catat Ulasan

0 Ulasan