Jangan sebar agama lain kepada umat Islam - JAKIM

 


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengingatkan semua pihak agar tidak menyebarkan atau mengembangkan sebarang doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam kepada umat Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.  

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, peringatan itu susulan tular kejadian beberapa individu yang didakwa cuba menyebarkan agama bukan Islam kepada umat Islam di kawasan perumahan di Wilayah Persekutuan.  

“Semua pihak diseru supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memelihara keharmonian negara. 

"Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak setiap individu untuk menganuti dan mengamalkan agamanya. 

"Namun, Fasal (4) jelas menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak boleh menyebarkan kepercayaan agama mereka kepada umat Islam,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.  

Difahamkan, dalam video yang tular di media sosial sejak kelmarin, beberapa individu dilihat mengetuk pintu rumah penduduk Islam sambil memberikan risalah keagamaan. 

Kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah pangsapuri di ibu negara dan telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat.  

Beliau menegaskan, sebarang tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan perlu dihentikan kerana ia boleh menimbulkan keresahan awam, khususnya dalam kalangan umat Islam.  

“Sekiranya terdapat pihak yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian tular itu, mereka perlu membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil pihak berkuasa. Jika terbukti ada pihak yang melanggar undang-undang, mereka perlu dihadapkan ke muka pengadilan untuk dijadikan iktibar kepada semua pihak,” ujarnya.  

Sirajuddin turut memaklumkan bahawa JAKIM, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), dan Kementerian Perpaduan Negara akan terus memainkan peranan dalam memantau dan menguruskan isu-isu keagamaan dengan pendekatan yang adil dan harmoni demi kestabilan serta keamanan negara.


BACA LAGI


MENARIK



Catat Ulasan

0 Ulasan