Penganalisis politik, Lim Sian See yakin bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan seorang penyamun berdasarkan cara pengurusan dana yang diterimanya.
Menurut beliau, mana-mana pegawai tinggi kerajaan yang benar-benar korup tidak akan memindahkan wang berbilion ringgit terus ke akaun bank peribadi tempatan atas nama sendiri.
“Sebaliknya, mereka akan menggunakan struktur kewangan yang kompleks, akaun luar pesisir, aset mewah dan transaksi berlapis-lapis bagi menyukarkan pengesanan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Sian See berkata, kaedah menyebarkan wang ke pelbagai negara, syarikat luar pesisir dan aset berbeza atas nama proksi adalah pendekatan lazim dalam kes rasuah berprofil tinggi di peringkat antarabangsa.
“Sebab itu, Najib bukan penyamun. Beliau benar-benar percaya bahawa dana yang diterimanya adalah sumbangan dari Arab Saudi.
"Sebab itu juga beliau menggunakan akaun bank atas nama sendiri selepas mendapat nasihat langsung daripada Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM),” jelasnya.
Lebih menarik, katanya, Najib sendiri yang meminta BNM memantau akaunnya bagi memastikan tiada aktiviti mencurigakan, tindakan yang bertentangan dengan kebiasaan penjenayah kewangan.
“Kebanyakan individu yang bersalah akan berusaha mengelak daripada diawasi. Tetapi Najib secara aktif mengundang pemantauan. Jika beliau tahu dana itu hasil salah guna kuasa, logiknya, mengapa beliau bertindak demikian?
“Jika ada sesuatu yang tidak kena, kenapa BNM tidak mengeluarkan amaran lebih awal? Atau adakah ketika itu transaksi berkenaan dianggap sah dan dibenarkan oleh pihak berkuasa?” soalnya.
Sian See menambah, persoalan dari mana wang itu datang tetap penting, namun jika Najib percaya dana berkenaan adalah sumbangan sah, kes ini bukan tentang rompakan atau pencurian, sebaliknya kelemahan sistem pengawalseliaan kewangan negara.
“Jika Najib salah kerana menerima dana ini, adakah BNM juga bersalah kerana membiarkannya?” katanya.
0 Ulasan