Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa gambaran yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa anaknya memiliki aset berjumlah RM1.2 bilion adalah tidak benar.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, dakwaan tersebut berulang kali disebut oleh Anwar walaupun jumlah sebenar aset kedua-dua anaknya, Mirzan dan Tan Sri Mokhzani, hanya bernilai RM436 juta berdasarkan penjelasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“SPRM menjelaskan bahawa harta kekayaan Mirzan adalah sebanyak RM120 juta, manakala Mokhzani memiliki RM316 juta.
"Jumlah keseluruhan kedua-duanya ialah RM436 juta. Jadi dari mana datang angka RM1.2 bilion yang disebut berkali-kali oleh Anwar?” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut membidas sindiran Anwar yang menggambarkan anak-anaknya sebagai golongan maha kaya yang mendapat kekayaan hasil daripada dana kerajaan.
“Apa bukti mereka sakau duit kerajaan? Kenyataan SPRM tidak menyebut perkara ini. Apakah bukti yang saya tolong mereka sakau duit kerajaan?” soalnya.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata beliau telah memfailkan saman fitnah terhadap Anwar namun sehingga kini, selepas dua tahun, Perdana Menteri masih gagal mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.
“Walaupun tiada bukti, Anwar masih mengulangi sindiran bahawa saya antara pemimpin tinggi yang sakau berbillion ringgit duit kerajaan. Anwar juga gesa saya guna kekayaan saya untuk menolong orang Melayu miskin,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir memberi jaminan akan menyerahkan semua wang yang didakwa disakau olehnya kepada golongan miskin sekiranya Anwar dapat membuktikan kewujudannya.
“Mungkin Anwar tahu di mana duit berbilion ini berada. Saya tidak tahu. Kalau Anwar boleh beri maklumat, saya akan beri 100 peratus kepada orang miskin.
"Ini ikrar saya dan saya sanggup tunaikan janji ini. Jika tidak, Anwar bila buka mulut, bohong,” katanya.
0 Ulasan