Tunggakan bayaran balik pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) setakat 31 Disember 2023 berjumlah RM10.853 bilion, melibatkan seramai 1.2 juta peminjam.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2023 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, jumlah itu merupakan tunggakan tertinggi sejak 2014, dengan tempoh usia tunggakan antara kurang setahun hingga melebihi 12 tahun.
Laporan tersebut turut menyatakan bahawa bayaran balik pinjaman pendidikan yang tertunggak menunjukkan peningkatan dari tahun 2019 hingga 2023, sekali gus memerlukan PTPTN untuk mengkaji semula mekanisme kutipan bayaran balik dan memperketat pemantauan terhadap pengurusan pinjaman.
“Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu mengkaji semula mekanisme kutipan bayaran balik pinjaman pendidikan dan meningkatkan pemantauan terhadap pengurusan pinjaman pendidikan,” jelas laporan itu.
Sementara itu, PTPTN dalam maklum balas yang diterima Ketua Audit Negara pada 19 Disember lalu menyatakan, tindakan penguatkuasaan terhadap peminjam yang mempunyai baki tertunggak telah dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 Ogos lalu.
"Sehingga 30 November 2024, terdapat pengurangan tunggakan pinjaman berjumlah RM640.09 juta (5.9 peratus) daripada RM10.853 bilion yang melibatkan 1.20 juta peminjam bagi baki tunggakan pinjaman sehingga 2023," katanya.
0 Ulasan