Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh menggesa pihak berkuasa memberikan penjelasan mengenai perkembangan siasatan terhadap pelawak Harith Iskander dan pemilik akaun Facebook, Cecelia Yap Song KL.
Beliau menegaskan, undang-undang harus terpakai untuk semua dan tidak boleh bersifat terpilih mengikut sokongan individu berpengaruh.
Dr. Akmal berkata, hukuman perlu dikenakan kepada sesiapa sahaja yang melanggar batas sensitiviti agama, tanpa mengira latar belakang mereka.
"Saya juga ingin bertanya kepada pihak berkuasa, jika tiga DJ ini telah disiasat dan dikenakan hukuman oleh majikan mereka, apa perkembangan bagi kes Cecelia Yap dan Harith Iskander yang memperlekehkan nama Nabi Muhammad dan agama Islam?" katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Sebelum ini, tiga DJ Era FM dikenakan tindakan oleh majikan mereka selepas didapati mempermainkan isu sensitif yang menyinggung perasaan penganut Hindu.
Manakala pada Januari lalu, polis menerima banyak laporan terhadap Harith Iskander yang didakwa menghina agama Islam menerusi hantaran di akaun Facebooknya.
Hantaran tersebut memaparkan gambar secawan kopi dengan kapsyen yang didakwa menghina agama.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Selain itu, pemilik akaun Facebook Cecelia Yap Song KL turut terlibat apabila mengeluarkan komen yang dipercayai menghina agama Islam pada hantaran tersebut.
Peguam beliau kemudiannya tampil memohon maaf secara terbuka bagi pihaknya, menyatakan kekesalan atas kenyataan sensitif yang menyinggung perasaan orang ramai, dan berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut serta memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.
Pada masa yang sama, Dr. Akmal menyatakan sokongan terhadap tindakan yang diambil ke atas tiga DJ Era FM tersebut dan menegaskan bahawa tindakan tegas perlu dikenakan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, atau negara.
0 Ulasan