Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa setiap agama perlu dihormati dan tidak boleh dijadikan bahan ejekan atau persendaan dalam apa jua bentuk, termasuk secara lisan, tulisan, perbuatan atau di platform media sosial.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, Malaysia MADANI menekankan nilai hormat-menghormati, toleransi serta kesejahteraan bersama.
"Sikap memperlekeh atau mempersendakan amalan keagamaan pihak lain bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, malah boleh mencetuskan ketegangan dan merosakkan keharmonian masyarakat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, JAKIM mengingatkan semua pihak agar menjaga sensitiviti keagamaan dalam setiap tindakan dan pertuturan, serta mengelakkan daripada membuat sebarang kenyataan atau perlakuan yang boleh menyinggung kepercayaan agama lain.
"Islam sebagai sebuah agama yang menyuburkan kesejahteraan dan keharmonian telah mengajar kita untuk tidak mencerca kepercayaan orang lain sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-An’am, ayat 108 yang bermaksud:
‘Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan’," katanya.
Sirajuddin turut menyeru agar semua pihak sentiasa mengamalkan sikap saling memahami dan bertoleransi.
“Prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua harus dijadikan panduan bagi memastikan keamanan dan perpaduan terus terpelihara di negara ini,” katanya.
Sementara itu, penyampai radio Era FM, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin telah meminta maaf berikutan penghasilan video kontroversi yang didakwa mempersendakan tarian kavadi Hindu.
Tarian yang sinonim dengan upacara suci ketika Thaipusam itu dilakukan salah seorang penyampai sambil menyebut 'Vel Vel' disusuli gelak tawa.
Terdahulu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan menuntut permohonan maaf terbuka selain menyeru kerajaan mengambil tindakan terhadap stesen radio terbabit.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut mengesahkan pihaknya menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan penyampai radio tersebut.
0 Ulasan