Ketua Pemuda PH Sarawak minta maaf fitnah Akmal

 


Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Zairy Abdullah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh atas komen berunsur fitnah yang ditulis di laman Facebook beliau.  

Menurut Zairy, komen tersebut berpunca daripada kekhilafan serta sumber yang tidak sahih, dan beliau mengakui kesilapan dalam menyebarkan maklumat tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihannya.  

“Saya ingin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Dr. Akmal Saleh atas komen yang saya tulis di laman Facebook beliau. Saya amat kesal atas kekeliruan dan sebarang kesan negatif yang mungkin timbul akibat komen tersebut.  

“Niat saya bukan untuk menyinggung atau menimbulkan salah faham, dan saya menerima sepenuhnya tanggungjawab atas kesilapan ini,” katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.

Beliau turut menegaskan bahawa insiden ini menjadi pengajaran buat dirinya untuk lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat serta memastikan fakta diperiksa dengan betul sebelum memberi sebarang komen.  

Terdahulu, Zairy dalam komennya menuduh Dr. Akmal sebagai salah seorang individu yang menerima peruntukan dana komunikasi daripada pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.  

Dr. Akmal seterusnya meminta Zairy meminta maaf atau berdepan tindakan undang-undang jika gagal berbuat demikian.

Sementara itu, Dr. Akmal dalam ruangan komen pada hantaran tersebut berkata, beliau memaafkan perbuatan Zairy.  

“Dalam bulan yang mulia ini buat fitnah… Kalau tak tahu dan pasti apa yang dibaca, jangan buat konon-konon tahu semuanya.  

“Nasib baik ini bulan Ramadan, bulan yang Allah minta kita banyak buat kebaikan. Kali ini kau aku maafkan, tapi tolong jangan buat lagi pada orang lain. Tak faham, tanya dulu sebelum bajet hero,” katanya.


BACA LAGI


MENARIK





Catat Ulasan

0 Ulasan