Apakah kita hanya melihat rakyat ditipu kartel beras? - Akmal


Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh, meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan pesawah tempatan memproses padi mereka sendiri menjadi beras.  

Beliau percaya langkah itu berupaya mengatasi masalah ketandusan bekalan beras tempatan di pasaran yang semakin membimbangkan.  

Menurut Dr. Akmal, kenyataan Mohamad bahawa aktiviti mencampurkan beras tempatan dan import telah berlaku sejak tahun 1970-an adalah benar. 

Namun, beliau menegaskan bahawa situasi ketika itu berbeza kerana perbezaan harga antara beras tempatan dan import tidak ketara.  

"Hari ini, perbezaan harga beras tempatan dan import mencecah RM6 hingga RM10 bagi setiap 10 kilogram. 

"Dulu, bekalan beras putih tempatan masih mudah diperoleh di kebanyakan kedai, tetapi kini keadaannya seakan-akan sudah tiada lagi," katanya dalam hantaran Facebook hari ini. 

Dr. Akmal turut mempersoalkan alasan pihak berkuasa bahawa tiada peruntukan undang-undang yang jelas untuk mendakwa pihak yang mengambil kesempatan dalam isu beras ini.  

"Akhirnya, rakyat tertipu oleh kartel dan terpaksa membeli beras tempatan pada harga beras import. Apakah solusi kepada permasalahan ini? Adakah kita hanya akan melihat?" soalnya.  

Sebagai penyelesaian, beliau mencadangkan agar pesawah dibenarkan memproses padi mereka sendiri melalui koperasi atau persatuan peladang sedia ada, seterusnya menjual terus kepada pengguna.  

"Dengan cara ini, petualang yang menekan pesawah dan menipu rakyat dapat dibanteras. 

"Jika tidak, beras tempatan hanya mampu didengar tetapi tidak mampu dilihat," katanya.


BACA

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan