Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Akta Pembaharuan Bandar (URA) berpotensi menjejaskan kuasa politik orang Melayu kerana akan menyebabkan pengurangan populasi kaum itu di bandar-bandar utama.
Menurut beliau, pembaharuan bandar perlu dilakukan, namun ia tidak boleh dilaksanakan dengan mengeluarkan orang Melayu dari bandar seperti yang berlaku di beberapa negara lain.
"Bandar-bandar lama di seluruh dunia tetap mempunyai kawasan yang buruk, dipenuhi setinggan dan golongan miskin.
"Kuala Lumpur dan kebanyakan bandar di Malaysia juga begitu. Kawasan ini memang perlu dibaharui," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, kebanyakan penduduk di kawasan setinggan di Kuala Lumpur adalah orang Melayu dan sekiranya pembaharuan dilakukan, penduduk yang perlu berpindah adalah majoritinya Melayu.
"Apabila golongan miskin dikeluarkan, kawasan yang dibangunkan semula sudah tentu lebih mewah.
"Harga flat dan hartanah menjadi terlalu tinggi, menyebabkan orang Melayu tidak mampu untuk menyewa atau membeli rumah di bandar.
"Akhirnya, usaha Allahyarham Tun Abdul Razak untuk memperbanyakkan orang Melayu di bandar akan terhapus," katanya.
Dr. Mahathir turut membangkitkan kebimbangan terhadap penggunaan model Singapura dalam perancangan pembaharuan bandar di Malaysia.
"Apa yang berlaku di Singapura ialah kampung-kampung Melayu diambil alih dan digantikan dengan pangsapuri mewah.
"Penduduk asal dipindahkan ke kawasan lain secara berselerak sehingga komuniti Melayu tidak lagi hidup bersama. Ini melemahkan kuasa politik orang Melayu," ujarnya.
Beliau memberi amaran bahawa jika pendekatan serupa diambil di Malaysia, kesannya adalah berkurangnya jumlah orang Melayu di bandar dan melebarkan jurang pemisahan antara kaum.
"Jika orang Melayu terus tinggal terpencil di luar bandar, mereka akan ketinggalan dalam menikmati pelbagai kemudahan bandar.
"Akhirnya, perpaduan kaum yang kita harapkan tidak akan tercapai," tegasnya.
0 Ulasan