Bawa dia ni ke masjid untuk minta maaf! - Akmal

 


Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Vijayan Savarinathan walaupun individu itu telah memohon maaf selepas didakwa menghina Islam.  

Beliau berkata, perbuatan menghina agama tidak boleh dipandang remeh dan tindakan undang-undang perlu dikenakan bagi memastikan kes seumpama ini tidak berulang.  

"Cukup-cukuplah dengan budaya hina dulu, kemudian baru minta maaf. Selepas menghina agama kami, adakah semudah itu dia boleh meminta maaf dan semuanya selesai?" katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Dr Akmal menegaskan, undang-undang tidak boleh bersifat berat sebelah dan perlu dikuatkuasakan secara adil tanpa mengira kaum atau latar belakang politik seseorang individu.  

"Kami mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan sangat tegas terhadap individu ini. Undang-undang bukan hanya untuk sesetengah golongan sahaja, ia perlu dikenakan kepada semua tanpa mengira bangsa atau fahaman politik," katanya.  

Beliau turut mempersoalkan mengapa pihak tertentu yang sebelum ini lantang bersuara ketika insiden melibatkan tiga penyampai radio Era FM, kini mendiamkan diri dalam isu ini.  

"Mana pergi ahli politik yang dahulu bukan main marah terhadap tiga orang DJ Era? Kenapa dalam isu ini mereka diam? Sepatutnya kamu juga perlu membantah dan menyuarakan pendirian," katanya.  

Beliau turut mencadangkan agar Vijayan dibawa ke masjid untuk memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam. 

"Bawa dia ni ke masjid untuk minta maaf juga!!!"

Sebelum ini, Vijayan didakwa mengeluarkan kenyataan yang menghina Islam menerusi platform media sosial, mencetuskan kemarahan orang ramai. 

Walaupun dia telah menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf, ramai pihak berpendapat tindakan undang-undang perlu tetap diambil sebagai pengajaran.

BACA LAGI

MENARIK



Catat Ulasan

0 Ulasan