Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa debat membabitkan isu agama antara Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dan pendakwah bebas, Zamri Vinoth tidak diteruskan bagi mengelakkan ketegangan yang boleh menggugat keharmonian negara.
Presidennya, Fazreen Fauzi berkata, walaupun pihaknya teruja dengan perancangan debat itu, GPMS berpandangan sebarang perbincangan yang memberi penekanan kepada perbezaan agama berpotensi mencetuskan polemik yang tidak diingini.
"Sebagai sebuah organisasi yang menjunjung keharmonian dan prinsip berperlembagaan, GPMS berpendapat debat sebegini boleh mengeruhkan hubungan antara masyarakat berbilang agama di negara ini.
"Kami melihat ada pihak yang secara halus cuba menyalakan api dengan tujuan menggugat keharmonian negara serta mengganggu emosi umat Islam, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, tindakan sebegitu tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menjejaskan kestabilan serta perpaduan yang telah lama dibina bersama.
"Biarlah mereka yang benar-benar ahli atau layak sahaja berdebat dan berbincang demi mendukung kepentingan Islam sebagai agama Persekutuan, sementara agama lain pula bebas diamalkan penganutnya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan," katanya.
Fazreen berkata, GPMS menghormati hak setiap individu untuk berbincang mengenai pelbagai isu termasuk agama, namun menegaskan bahawa perbincangan tersebut harus dilakukan dalam suasana harmoni serta penuh rasa hormat.
"Sebarang perbahasan berkaitan agama harus bertujuan memperkukuh perpaduan, bukan menimbulkan perpecahan.
"Justeru, GPMS menyeru semua pihak agar tidak meneruskan debat ini demi menjaga sensitiviti masyarakat dan memastikan keharmonian antara agama terus terpelihara," katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya semua pihak memberi fokus kepada perjuangan mewujudkan sistem sekolah satu aliran bagi menjamin perpaduan jangka panjang.
"Sistem pendidikan yang lebih bersatu akan membolehkan anak-anak Malaysia membesar dalam persekitaran yang lebih harmoni, adil serta saling memahami sejak kecil," katanya.
Fazreen dalam kenyataan itu turut mengajak semua pihak memperkukuh semangat muhibah serta mengamalkan sikap hormat-menghormati dalam kepelbagaian yang menjadi asas kekuatan negara.
0 Ulasan