KPDN gempur kegiatan campur beras import dan tempatan

 

Sebanyak 48 kes melibatkan campuran beras import dan beras tempatan dikesan menerusi Ops Campur yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), semalam.  

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi itu dijalankan susulan pendedahan Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) mengenai 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang dirampas didapati dicampur dengan beras putih tempatan.  

"Bertindak atas laporan tersebut, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, mengarahkan Ops Campur dilaksanakan serta-merta bagi memastikan pengguna mendapat beras berkualiti seperti yang sepatutnya serta membanteras kegiatan ini dalam rantaian pembekalan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.  

Menurut beliau, setakat ini sebanyak 113 premis telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 48 kes dikesan dengan beberapa sampel beras telah disita untuk tindakan lanjut.  

"Nilai rampasan sampel yang direkodkan adalah sebanyak RM15,321.40. 

"Sitaan ini bertujuan sebagai pensampelan dan penentuan kuantiti yang akan dikemukakan kepada Jabatan Kimia Malaysia dan MARDI bagi tujuan analisis," katanya.  

Beliau berkata, Ops Campur dilaksanakan di bawah peruntukan Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730), yang memperuntukkan tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama produk.  

"Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. 

"Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda boleh meningkat sehingga RM250,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.  

"Sementara itu, syarikat yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 dan bagi kesalahan berulang, denda maksimum adalah RM500,000," katanya.  

Sehubungan itu, KPDN menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti campuran beras ini untuk tampil membuat aduan menerusi pelbagai saluran yang disediakan, termasuk aplikasi WhatsApp ke 019-8488000, portal e-aduan@kpdn.gov.my, talian pusat panggilan 1-800-886-800, serta aplikasi Ez Adu KPDN.  

"KPDN komited memastikan bekalan makanan negara terjamin dan pengguna tidak tertipu dengan sebarang penipuan dalam urusan perdagangan," katanya.

Catat Ulasan

0 Ulasan