Pengendali Era FM dikompaun RM250,000 muat naik kandungan jelik melampau - SKMM

 


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenakan kompaun sebanyak RM250,000 terhadap Maestra Broadcast Sdn Bhd, pengendali stesen radio Era FM, atas kesalahan memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok stesen radio itu.  

SKMM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa kompaun itu dikeluarkan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara.  

“Walaupun notis niat penggantungan lesen telah dikeluarkan kepada Maestra Broadcast Sdn Bhd pada 7 Mac lalu, SKMM telah mempertimbangkan rayuan syarikat tersebut serta tindakan susulan yang diambil, termasuk permohonan maaf oleh pihak terbabit.  

“Sehubungan itu, keputusan dibuat untuk tidak menggantung lesen syarikat berkenaan, yang turut meliputi stesen radio Melody dan Mix FM,” kata kenyataan itu.  

Terdahulu, tindakan tiga penyampai Era FM dalam satu siaran di platform media sosial mereka mencetuskan kemarahan penganut agama Hindu selepas mereka didakwa menyinggung sensitiviti keagamaan melalui aksi dalam video TikTok itu. 

Susulan itu, insiden tersebut menerima kecaman meluas daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat.  

SKMM menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang penyebaran kandungan dalam talian yang boleh mencetuskan ketegangan antara agama atau menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.  

“Semua pengendali dan pengguna platform media sosial diingatkan supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan keharmonian kaum dan agama terus terpelihara serta sentiasa mematuhi undang-undang negara,” tambah kenyataan itu.

BACA LAGI


MENARIK





Catat Ulasan

0 Ulasan