![]() |
Chong Zhemin |
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendakwa Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin mengeluarkan kenyataan tidak betul berhubung isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurut beliau, pelbagai fakta yang dikemukakan oleh Zhemin dalam video disiarkan DAP adalah tidak tepat dan menyimpang daripada isu utama.
"KWSP membeli saham MAHB pada harga RM2.50 sesaham pada tahun 1999 apabila MAHB disenaraikan, bukan pada tahun 1995 seperti yang didakwa," katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam turut menegaskan bahawa KWSP tidak pernah melakukan jualan kosong (short selling) seperti yang cuba digambarkan oleh Zhemin.
Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa KWSP meraih keuntungan RM3.50 sesaham hasil penjualan saham MAHB, sebaliknya, berdasarkan pendedahan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, jumlah keuntungan sebenar hanyalah RM0.62 sesaham.
"Pada 2023, KWSP menjual 163.4 juta saham MAHB dengan pendapatan keseluruhan RM102 juta.
"Jika benar keuntungan RM3.50 sesaham, maka jumlah keseluruhan keuntungan KWSP sepatutnya melebihi RM571 juta. Tetapi, angka itu tidak pernah diumumkan oleh Menteri Kewangan II," katanya.
Ka Siong turut menyifatkan kenyataan Zhemin bahawa pembelian semula saham MAHB pada harga RM11 sesaham sebagai pelaburan jangka panjang yang menguntungkan sebagai tidak masuk akal.
"KWSP merupakan pemegang saham kedua terbesar MAHB dan terlibat dalam penswastaan.
"Dengan pemulihan industri penerbangan global, kontrak pengurusan lapangan terbang dilanjutkan sehingga 2069 dan cukai lapangan terbang meningkat, mengapa KWSP tergesa-gesa menjual saham MAHB pada masa kritikal ini?" soalnya.
Menurutnya, jika KWSP tidak menjual pegangan MAHB pada 2023, ia tidak perlu mengeluarkan antara RM539 juta hingga RM686 juta untuk membeli semula 9.878 peratus pegangan yang telah dilepaskan.
Keputusan KWSP menjual dua pertiga daripada saham MAHB pada 2023, katanya, tidak pernah berlaku sebelum ini dan melibatkan aset strategik negara yang tidak boleh dilepaskan sewenang-wenangnya kerana ia membabitkan keselamatan serta kepentingan negara.
0 Ulasan