Hassan Abdul Karim kecewa sistem pemilihan PKR mundur ke belakang

 


Ketua PKR Cabang Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim meluahkan rasa kecewa terhadap pindaan sistem pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang bakal dibuat melalui undian perwakilan kongres tahunan parti.  

Beliau berkata, meskipun pemilihan di peringkat cabang masih mengekalkan prinsip satu anggota satu undi, keputusan menukar mekanisme pemilihan kepimpinan tertinggi parti adalah satu langkah ke belakang.  

“Saya amat gembira pemilihan di peringkat cabang PKR masih dijalankan secara demokratik dengan sistem satu anggota satu undi. 

"Namun, saya berasa sedih dan kecewa apabila pemilihan di peringkat pusat, termasuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden, tidak lagi menggunakan sistem ini,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Pasir Gudang semalam.  

Hassan berkata, walaupun perubahan itu telah diputuskan melalui Kongres Khas, beliau tetap berpegang pada pendirian bahawa sistem asal lebih mencerminkan semangat demokrasi dan keterbukaan dalam parti.  

“Keputusan sudah dibuat dan sebagai anggota parti, saya akur. Saya tidak mahu mengulanginya sehingga disebut sebagai ‘rumah siap pahat berbunyi’, tetapi saya tetap mahu ia direkodkan,” katanya.  

Dalam pada itu, Hassan yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang turut menyentuh kedudukan PKR sebagai tulang belakang Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan, yang menurutnya berdepan cabaran besar untuk mengekalkan agenda reformasi dan perubahan.  

Beliau berpandangan, imej PKR sebagai parti yang memperjuangkan reformasi sedikit terjejas kerana terpaksa bersekutu dengan parti-parti yang mempunyai rekod berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.  

“Ini adalah cabaran besar bagi kepimpinan parti serta seluruh anggota PKR dalam menentukan hala tuju perjuangan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya.


BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan