UMNO Langkawi tolak cadangan pusingan U ke sistem pemilihan lama

 


UMNO Bahagian Langkawi menegaskan pendirian menolak sebarang usaha mengembalikan sistem pemilihan lama yang mengehadkan hanya 2,500 perwakilan untuk mengundi bagi jawatan tertinggi parti.  

Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, sistem lama itu bukan sahaja tidak selari dengan realiti politik semasa, malah bertentangan dengan prinsip demokrasi dan keterbukaan yang menjadi asas perjuangan UMNO.  

“Saya menolak cadangan untuk kembali kepada sistem pemilihan lama yang hanya membabitkan segelintir perwakilan. 

"Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan demokrasi, langkah sebegini adalah satu kemunduran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.  

Julai lalu, media melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaan parti untuk meneliti cadangan perubahan dalam sistem pemilihan, namun menegaskan perkara itu bukan keutamaan ketika ini dan hanya akan dipertimbangkan sekiranya ada keperluan.  

Mohd Nazifuddin menegaskan, sistem pemilihan sedia ada yang membabitkan lebih ramai ahli akar umbi perlu dikekalkan bagi memastikan keadilan dan ketelusan dalam pemilihan kepimpinan tertinggi parti.  

“Pemilihan UMNO harus terus memberi hak kepada akar umbi, bukan terhad kepada perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU).  

“Cadangan mengembalikan semula hak mengundi kepada hanya 2,500 perwakilan menimbulkan kebimbangan berhubung isu politik wang yang boleh menjejaskan integriti parti,” katanya.  

Beliau menambah, kepimpinan tertinggi UMNO harus peka dengan suara akar umbi dan memastikan sebarang perubahan dibuat berdasarkan prinsip demokrasi demi memastikan parti lebih kukuh serta inklusif.  

“UMNO Bahagian Langkawi mengambil ketetapan untuk tidak menyokong sebarang perubahan yang boleh menjejaskan asas demokrasi dalam parti dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap UMNO,” katanya.


BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan