Mengapa Teresa Kok tak buat laporan SPRM lebih awal?

 


Penganalisis politik, Lim Sian See mempersoalkan bagaimana Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok boleh mengakui tidak terlibat dalam kelulusan peruntukan projek papan pintar kepada 16 sekolah di kawasan Parlimennya.  

Menurut beliau, kenyataan yang dibuat oleh Teresa semalam berhubung tangkapan dan reman dua bekas pegawainya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menimbulkan beberapa percanggahan ketara.  

“Dia cuba mengaku diri sebagai ‘whistleblower’ selepas SPRM sudah pun bertindak. Dia mengaku sudah mengetahui tentang isu perolehan ini sejak Oktober 2024, tetapi kenapa hanya selepas SPRM membuat tangkapan barulah beliau tampil mendakwa dirinya sebagai pemberi maklumat?  

“Jika benar beliau serius menentang ketirisan, mengapa dia tidak melaporkan kepada SPRM atau mendedahkannya lebih awal kepada umum? Dia sendiri mengakui bahawa bukan dia atau pejabatnya yang melaporkan kepada SPRM,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.  

Sian See turut menegaskan bahawa kegagalan melaporkan jenayah yang diketahui juga merupakan satu kesalahan, dan SPRM boleh mengambil tindakan berdasarkan pengakuan Teresa sendiri.  

Beliau juga mempersoalkan bagaimana peruntukan sebanyak RM1.6 juta kepada 16 sekolah boleh disalurkan tanpa pengawasan jika Teresa benar-benar tidak terlibat dalam proses kelulusan.  

“Dua bekas pegawainya yang ditugaskan mengurus kewangan pusat khidmatnya kini disiasat SPRM. Adakah mungkin mereka bertindak tanpa pengetahuannya? 

"Jika benar, ini menunjukkan tahap pengurusan yang sangat lemah. Pemberian RM1.6 juta oleh pejabatnya tanpa dia sedar?” katanya lagi.  

Sian See turut membangkitkan percanggahan dalam kenyataan Teresa yang mempertikaikan peranan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan dalam mengarahkan pembelian papan pintar jenama LG melalui syarikat yang tidak wujud.  

Menurut beliau, kenyataan Teresa lebih kepada usaha menjauhkan diri daripada skandal berkenaan, bukannya satu tindakan berani untuk menegakkan keadilan.  

“Jika benar Teresa serius mahu membanteras penyelewengan, dia sepatutnya melaporkan kes ini lebih awal, bukan selepas SPRM bertindak,” katanya.  

Sebelum ini, SPRM menahan dua bekas pegawai Teresa Kok yang bertanggungjawab menguruskan kewangan pusat khidmatnya serta peruntukan kerajaan di kawasan Parlimen Seputeh. 

Kedua-dua mereka dipercayai disiasat berhubung dakwaan penyalahgunaan dana bagi pembelian papan pintar yang didakwa dibeli pada harga jauh lebih tinggi daripada nilai pasaran.


BACA LAGI

MENARIK





Catat Ulasan

0 Ulasan