Bekas kakitangan ditahan, Teresa Kok nafi buat laporan SPRM

 


Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menafikan dakwaan bahawa beliau dan kakitangannya pernah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pembelian papan pintar pada harga berlebihan.  

Beliau berkata, dua bekas kakitangannya telah ditahan oleh SPRM semalam, satu perkembangan yang menimbulkan kebimbangan di kalangan ahli dan penyokong DAP.  

Menurut Teresa, kedua-dua individu berkenaan sebelum ini bertanggungjawab menguruskan kewangan pusat khidmatnya dan mengendalikan urusan peruntukan kerajaan di kawasannya sebelum meletakkan jawatan tahun lalu.  

“Memandangkan tuduhan tidak berasas yang berlegar di media sosial mengenai penglibatan saya, saya ingin menyatakan secara tegas bahawa saya mahupun kakitangan saya tidak pernah membuat laporan kepada SPRM.  

“Kami juga tidak mempunyai kuasa atau pengaruh untuk mengarahkan pegawai SPRM menjalankan siasatan, apatah lagi dalam tempoh sebelum pemilihan parti yang dijadualkan pada 16 Mac ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Teresa berkata, beliau percaya siasatan SPRM berkaitan dengan isu harga berlebihan bagi pembelian papan pintar jenama LG.  

Menurut beliau, pada hujung Oktober lalu, beliau dimaklumkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Wilayah Persekutuan (ICU WPKL) bahawa peruntukan kawasan Parlimen Seputeh telah digunakan untuk menyalurkan RM99,000 kepada setiap 16 sekolah bagi pembelian papan pintar dan televisyen pintar.  

Namun, katanya, beliau tidak pernah meluluskan peruntukan dalam skala sedemikian.  

“Hasil siasatan lanjut mendapati bahawa syarikat yang mengeluarkan invois bagi pembelian tersebut tidak wujud dan merupakan entiti palsu.  

“Sebuah syarikat pengedar bekalan elektrik rasmi LG turut mengesahkan bahawa kos sebenar bagi tiga papan pintar dan tiga televisyen pintar hanyalah RM55,299 dan bukan RM99,000.  

“Ini bermakna wujud perbezaan sebanyak RM43,701 bagi setiap sekolah dan RM699,216 untuk semua 16 sekolah,” katanya.  

Teresa berkata, beliau telah membangkitkan isu itu serta mempertikaikan rasional di sebalik arahan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) untuk membeli papan pintar jenama LG dalam Ucapan Kamar Khas di Sidang Parlimen pada 14 November lalu.  

Katanya, ucapan tersebut turut dimuat naik di platform media sosialnya bagi memastikan ketelusan dalam isu tersebut.  

“Sepanjang siasatan peribadi saya mengenai perkara ini, saya telah berbincang dengan ramai pegawai kerajaan. Saya percaya SPRM mungkin mendapat petunjuk daripada perbincangan tersebut.  

“Perbezaan RM699,216 ini adalah angka yang besar dan merupakan satu bentuk pecah amanah yang serius. Saya tetap komited untuk bekerjasama dengan SPRM bagi memastikan keadilan ditegakkan,” ujarnya.  

Teresa menegaskan bahawa beliau berpegang teguh kepada prinsip tadbir urus yang baik, integriti dan keadilan sosial sebagaimana yang diperjuangkan oleh DAP, termasuk dalam isu pembelian papan pintar yang membabitkan dana awam.


BACA LAGI


MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan