PAS percaya kerajaan tidak boleh hanya menyalahkan pihak lain atau sekadar membuat penafian bagi melepaskan diri daripada tanggungjawab dalam menangani isu berkaitan agama dan kaum di negara ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kegagalan kerajaan bertindak tegas, adil dan segera terhadap pelanggaran yang berlaku, terutamanya melibatkan kepentingan serta sudut pandang sah orang lain, hanya akan mengundang respons negatif daripada pihak yang terkesan.
Sehubungan itu, menurut beliau, PAS menyambut baik penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengenai kepentingan memelihara keharmonian serta hubungan baik antara kaum.
“Dalam kenyataan di Bandar Baru Bangi, Perdana Menteri menegaskan bahawa perbuatan mempergunakan isu-isu berkait agama dan kaum untuk kepentingan peribadi berpotensi merosakkan hubungan antara kaum dan perlu dihindari.
“PAS juga mengalu-alukan pendirian kerajaan berhubung kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang mesti dimartabatkan, selain keperluan semua pihak untuk tidak melanggar jalur, peraturan dan hukum berkait agama serta kaum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata, pendirian tersebut adalah selari dengan dasar PAS sejak sekian lama yang menekankan kepentingan sikap saling menghormati, memahami dan menghargai sebagai identiti utama masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Menurutnya, sikap tersebut bukan sekadar nilai atau idealisme yang boleh dirujuk pada masa-masa tertentu, tetapi merupakan cara hidup dan pemikiran kebangsaan yang mesti diamalkan dalam semua keadaan.
“PAS juga ingin mengulangi gesaan supaya kerajaan lebih tegas dalam mengawal serta mengurus tindak-tanduk anggotanya sendiri yang dilihat mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bidang kuasa pihak berkuasa Islam mahupun kepentingan umat Islam.
“Isu-isu seperti ini jelas telah dan akan terus menyumbang kepada konflik, ketegangan serta suasana tidak harmoni, termasuk dalam kalangan parti-parti komponen kerajaan sendiri,” tegasnya.
Justeru, Takiyuddin berkata, persepsi negatif terhadap keazaman politik kerajaan dalam mempertahankan Islam serta kepentingan penganutnya bukanlah sesuatu yang tidak berasas.
Menurut beliau, kerajaan perlu menunjukkan ketelusan serta kesungguhan dalam bertindak tegas terhadap anggota sendiri yang terus melanggar prinsip saling menghormati atau gagal memelihara sensitiviti kaum dan agama.
“Tanpa tindakan yang adil serta tegas, persepsi buruk sedia ada dan suasana tidak harmoni akan menjadi tanah subur kepada pihak berkepentingan untuk menabur angin yang akhirnya boleh mencetuskan badai yang lebih ganas,” katanya.
0 Ulasan