Hassan anggap suntikan RM1.1 bilion kepada Sapura Energy sebagai bailout

 


Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan langkah kerajaan menyalurkan dana RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad sebagai tindakan menyelamatkan syarikat atau ‘bailout’.  

Beliau berpendapat, istilah ‘pelaburan strategik’ yang digunakan oleh kerajaan, termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, tidak mengubah hakikat bahawa tindakan itu adalah satu bentuk bantuan kewangan kepada syarikat yang bermasalah.  

“Bailout adalah istilah yang sudah lama difahami rakyat Malaysia, terutamanya sejak era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad.  

“Ketika itu, kerajaan menyalurkan berbilion ringgit bagi menyelamatkan beberapa syarikat seperti Perwaja, Bank Bumiputera dan Malaysia Airlines (MAS), tetapi akhirnya tetap gagal,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut beliau, dalam kes Sapura Energy, kerajaan menggunakan hujah kepentingan nasional dan keperluan menyelamatkan vendor bumiputera bagi mewajarkan suntikan dana tersebut.  

Fahmi sebelum ini menjelaskan bahawa dana RM1.1 bilion itu bertujuan membantu lebih 2,000 vendor Sapura Energy, yang 80 peratus daripadanya adalah syarikat bumiputera.  

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan, tanpa bantuan tersebut, kerajaan akan dianggap mengkhianati orang Melayu dan industri minyak dan gas tempatan akan terpaksa bergantung kepada syarikat asing.  

Hassan bagaimanapun berpandangan bahawa alasan yang diberikan kerajaan hari ini sama seperti hujah pentadbiran terdahulu.  

“Dulu Perwaja dikatakan perlu diselamatkan kerana kepentingan nasional, Bank Bumiputera kerana kepentingan Melayu, MAS kerana lambang penerbangan negara.  

“Hari ini, Sapura Energy pula diberi suntikan dana atas hujah yang sama. Jika istilah bailout dianggap negatif, maka istilah lain seperti ‘pelaburan strategik’ digunakan,” katanya.  

Beliau turut merujuk kepada definisi ‘bailout’ dalam Cambridge Dictionary yang bermaksud menyelamatkan sesebuah syarikat atau rancangan daripada kegagalan dengan memberikan sejumlah wang yang besar.  

“Dalam bahasa mudah, kerajaan mengeluarkan RM1.1 bilion untuk menyelamatkan Sapura Energy. Itu bailout namanya,” katanya.






Catat Ulasan

0 Ulasan