PAS gesa audit forensik terhadap Ahli Parlimen kerajaan

 


Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menggesa audit forensik dilakukan terhadap semua Ahli Parlimen kerajaan bagi memastikan tiada ketirisan dan penyelewengan dalam pengurusan peruntukan yang diberikan kepada mereka.

Beliau berkata, kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang menyatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh memulakan siasatan tanpa aduan rasmi adalah benar, namun dalam kes melibatkan bekas pegawainya yang didakwa menyalahgunakan dana peruntukan, beliau sendiri sepatutnya tampil membuat laporan rasmi.

“Di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694), individu yang mengetahui perlakuan rasuah wajib melaporkan perkara itu kepada SPRM. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.

“Maka, kenyataan Teresa Kok bahawa SPRM boleh bertindak tanpa aduan rasmi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelak daripada tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat yang berintegriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Fadhli, jika seorang Ahli Parlimen berpengalaman seperti Teresa Kok boleh diperdaya oleh pegawainya sendiri, maka wujud kemungkinan Ahli Parlimen lain juga mengalami situasi yang sama.

Justeru, beliau menegaskan bahawa audit forensik menyeluruh perlu dilakukan terhadap peruntukan yang diberikan kepada Ahli Parlimen kerajaan bagi memastikan ketelusan pengurusan dana awam.

Katanya, berdasarkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Zaleha Mustafa pada 13 Februari 2024, setiap Ahli Parlimen kerajaan menerima peruntukan sebanyak RM1.7 juta setahun bagi tempoh 2023 hingga 2024.

“Jumlah ini besar dan memerlukan ketelusan dalam pengurusannya. Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kerajaan perlu memastikan tiada sebarang ketirisan berlaku.

“Alangkah janggal apabila Ahli Parlimen pembangkang dinafikan peruntukan dengan alasan kemungkinan berlaku penyalahgunaan dana, sedangkan kes penyelewengan yang didakwa berlaku melibatkan peruntukan Ahli Parlimen kerajaan sendiri,” katanya.

Ahmad Fadhli turut menyindir bahawa jika dana itu disalahguna seperti dalam kes Teresa Kok, ia sepatutnya boleh digunakan untuk perkara lebih bermanfaat termasuk menyelamatkan syarikat strategik yang mengalami kerugian.

Jelasnya, kes itu perlu dijadikan pengajaran agar kawalan lebih ketat dilaksanakan dan bukan sekadar tindakan reaktif selepas penyelewengan berlaku.

“Jika benar kerajaan mengutamakan ketelusan dan integriti, audit forensik terhadap peruntukan Ahli Parlimen kerajaan perlu dilakukan segera.

“Malah, keutamaan harus diberikan kepada Ahli Parlimen yang juga memegang jawatan menteri kerana mereka mempunyai tanggungjawab besar di kementerian masing-masing serta sering ke luar negara atas urusan rasmi.

“Dengan beban tugas yang tinggi, risiko ketirisan dan salah guna dana lebih tinggi dalam kalangan mereka. Audit ini adalah keperluan mendesak bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam perbelanjaan kerajaan,” katanya.






Catat Ulasan

0 Ulasan