Orang UMNO tak kisah pun kalau Tengku Zafrul nak keluar parti

 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mengingatkan rakan sejawatannya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa ahli UMNO tidak kisah sekiranya beliau mahu meninggalkan parti.  

Menurut beliau, tindakan Tengku Zafrul yang beberapa kali tidak menghadiri mesyuarat MKT menimbulkan persoalan mengenai kesetiaannya kepada parti.  

“Mesyuarat MKT dua hari lepas pun dia tidak hadir. Sudah lama bukan rahsia bahawa dia mahu menyertai PKR. Tetapi langkahnya tersangkut di tengah jalan kerana perkara itu bocor lebih awal.  

“PKR pula difahamkan takut dituduh menikam belakang UMNO. Maka keahliannya dalam PKR kini berstatus ‘pending’,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.  

Menurut Mohd. Puad, timbul persoalan sama ada Tengku Zafrul benar-benar mahu kekal dalam UMNO atau sekadar menunggu keadaan reda sebelum mengambil langkah seterusnya.  

“Kenyataannya selepas bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa dia mahu ‘teruskan kerja’ menimbulkan tanda tanya.  

“Apakah itu isyarat dia tidak jadi keluar UMNO? Apakah dia insaf atau hanya menunggu suhu politik kembali stabil?” soalnya.  

Mengulas kemungkinan Tengku Zafrul mahu berpindah parti bagi mengekalkan jawatannya dalam Kabinet, Mohd. Puad menegaskan bahawa UMNO tidak tergugat sekiranya beliau berbuat demikian.  

“Jika benar dia mahu keluar UMNO kerana mahu kekalkan jawatan sebagai menteri, itu hak dia. Tetapi jangan permainkan UMNO.  

“UMNO bukan transit politik,” katanya.  

Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang bahawa Tengku Zafrul, yang kini memegang jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, merancang menyertai PKR bagi mengukuhkan kedudukannya dalam kerajaan.  

Bagaimanapun, langkah itu dikatakan terbantut selepas maklumat berkenaan tersebar lebih awal, menyebabkan PKR berhati-hati kerana tidak mahu dilihat menikam UMNO dari belakang.  







Catat Ulasan

0 Ulasan