Penganalisis politik, Lim Sian See mempersoalkan mengapa Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok tidak membuat laporan kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal penyelewengan pembelian papan pintar di bawah pejabatnya.
Beliau berkata, kes melibatkan dana awam untuk sekolah yang diseleweng itu menimbulkan banyak persoalan dan memerlukan penjelasan lanjut daripada Teresa.
"Teresa sendiri mengesahkan bahawa dana kerajaan sebanyak RM1.58 juta telah dibayar untuk membeli peralatan sekolah yang sepatutnya hanya bernilai RM880,000.
"Wang tersebut didapati telah dibayar kepada sebuah syarikat yang tidak wujud. SPRM juga mengesahkan bahawa bekas pegawai Teresa yang juga seorang pemimpin DAP bersama seorang individu lain telah direman kerana meminta dan menerima rasuah sebanyak RM500,000.
"Teresa Kok juga mengakui bahawa dia telah memecat pegawai terbabit kerana isu penyelewengan, namun tidak membuat sebarang laporan polis atau SPRM berhubung perkara tersebut. Walaupun begitu, Teresa Kok menafikan bahawa dia yang meluluskan pembelian tersebut," katanya hantaran Facebook hari ini.
Sian See turut mempersoalkan mengapa pembelian tersebut dilakukan tanpa melalui proses permintaan sebut harga (RFQ) dan sama ada peruntukan sebanyak RM1.58 juta dibenarkan untuk dilakukan secara rundingan terus oleh wakil rakyat kerajaan.
"Mana tatakelola? Jika syarikat tersebut tidak wujud, bagaimana kerajaan boleh membuat bayaran berjuta ringgit? Mengapa kes rasuah yang didedahkan hanya menyebut RM500,000 sedangkan lebihan pembayaran adalah RM700,000? Apa terjadi dengan baki RM200,000 lagi? Siapa yang ambil?
"Mengapa Teresa memecat pegawai yang terlibat tetapi tidak melaporkan penyelewengan itu kepada pihak berkuasa? Dan bukankah tidak melaporkan jenayah juga satu kesalahan jenayah?
"Jika dia bukan pihak yang meluluskan peruntukan tersebut, siapa yang meluluskannya? Adakah tandatangannya dipalsukan atau kata laluan akaunnya telah dicuri atau memang Teresa membenarkan pegawainya menggunakan akaunnya?" soalnya bertubi-tubi.
Selain itu, beliau mempertikaikan mengapa sehingga kini Teresa Kok masih belum dipanggil untuk disoal siasat oleh SPRM serta ketiadaan sebarang kenyataan rasmi daripada kerajaan berhubung isu tersebut.
"Mengapa sehingga kini Teresa Kok masih belum dipanggil untuk disoal siasat oleh SPRM? Dan kenapa langsung tiada komen dari kerajaan bahawa pemimpin DAP telah sakau dana awam untuk sekolah?" katanya.
Isu penyelewengan peruntukan Ahli Parlimen itu menjadi perhatian selepas SPRM menahan dua individu termasuk bekas pegawai khas Teresa Kok berhubung dakwaan rasuah melibatkan pembelian papan pintar untuk sekolah menggunakan dana kerajaan.
0 Ulasan