Puad harap Edmund ada rakaman audio bukti dia ikut arahan Teresa Kok

 

Gambar: Malaysiakini

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi secara sinis berharap bekas pegawai Ahli Parlimen Seputeh, Edmund Teoh Kheng Yaik mempunyai rakaman audio yang membuktikan beliau bertindak mengikut arahan Teresa Kok tanpa syarat dalam skandal pembelian papan pintar.

Beliau berkata, dakwaan Edmund bahawa dirinya hanya mengikut arahan Teresa tanpa syarat dalam urusan pembelian peralatan sekolah menggunakan dana kerajaan menimbulkan banyak persoalan dan memerlukan penjelasan segera.

“Edmund Teoh Kheng Yaik, bekas staf Teresa Kok yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah meletak semua jawatan dalam parti DAP. Edmund mendakwa dia hanya ikut dan bertindak atas arahan Teresa tanpa syarat.

“Apa maksud Edmund ikut arahan tanpa syarat? Terlalu banyak misteri. Harap-harap Teoh ada buat rakaman audio seperti dalam kes rasuah Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial, hari ini.

Mohd. Puad mencadangkan agar rakaman tersebut, sekiranya wujud, diserahkan kepada bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.

“Bolehlah serah rakaman audio itu kepada Latheefa Koya. Mungkin dia bersedia membantu seperti dalam kes rasuah Sabah. Pokoknya kredibiliti dan integriti Teresa Kok tercalar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa rakyat berhak mengetahui bagaimana peruntukan pembangunan ahli Parlimen boleh diseleweng hingga menimbulkan skandal berprofil tinggi seperti ini.

“Apakah Edmund sanggup melakukan kesungguhan politik dan kejujuran politik? Dedahkan cerita sebenar. Rakyat mahu tahu bagaimana peruntukan pembangunan ahli Parlimen boleh diseleweng.

“Salah YB atau pegawai? Dana peruntukan YB dan dana untuk promosi kempen kerajaan kini boleh diseleweng dengan skala lebih besar,” katanya.

Terdahulu, Edmund didakwa terlibat dalam penyelewengan dana awam membabitkan pembelian papan pintar bagi sekolah-sekolah di kawasan Parlimen Seputeh.

SPRM mengesahkan bahawa bekas pegawai Teresa itu bersama seorang individu lain telah direman kerana didakwa meminta dan menerima rasuah sebanyak RM500,000 berkaitan projek berkenaan.

BACA LAGI


MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan